Wan Saiful Wan Jan terjun masuk lubuk?

- Advertisement -
SAYA sebenarnya agak terkedu dengan penyertaan bekas Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, ke dalam PPBM semalam, 1 Mac 2018, kerana, seperti yang beliau sendiri sebutkan di dalam teks ucapan beliau, “memang, jika difikirkan kesan terhadap saya secara peribadi, sukar untuk saya ceritakan betapa besar risiko ini”.
 
Memperjuangkan idealisme adalah sesuatu yang baik, apatah lagi bila beliau sendiri mendedahkan, di dalam wawancara dengan portal berita The Malaysian Insight semalam, ketertarikan beliau untuk menyertai PPBM adalah kerana tawaran PPBM untuk meletakkan beliau sebagai calon pilihan raya di kawasan tertentu.
 
Begitupun, melihat kembali segala tulisan Wan Saiful yang memaparkan dapatan negatif mengenai kemampuan PPBM memenangi PRU14 sebelum ini, gambaran yang kelihatan pada mata kasar kita adalah bahawa beliau seolah-olah sudah bersedia untuk terjun masuk lubuk bersama-sama para pemimpin PPBM yang lain.
 
Selewat 1 Februari 2018 sekalipun, Wan Saiful masih menulis di dalam akhbar The Straits Times bahawa, tiada mana-mana satu kaji selidik (polls) pun yang menyebelahi Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PPBM, pada waktu ini, di mana PPBM dinyatakan sebagai bermasalah untuk menarik undi golongan Melayu. 
 
Tulis Wan Saiful, “adalah sukar untuk PPBM memenangi pengundi Melayu bila mereka bertanding di dalam satu pakatan yang turut disertai oleh DAP” kerana kaji selidik beliau bertajuk “PPBM In Johor: New Party, Big Responsibility” menunjukkan bahawa:
(1)     85 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi DAP.
(2)     71 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.
(3)     62 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat Pakatan Harapan adalah dikuasai oleh DAP. 
 
Begitu juga tulisan Wan Saiful di dalam akhbar The Star pada 3 Januari 2018 yang mempersoalkan kemampuan Tun Dr Mahathir untuk meyakinkan negara dengan dakwaan bahawa PPBM adalah mewakili golongan Melayu sebelum sempat berlangsungnya PRU14 selain meramalkan kesukaran PPBM untuk mendapatkan sokongan “golongan Melayu bandar, kelas pertengahan dan atasan” sebelum sempat berlangsungnya PRU14.
 
Turut disebutkan oleh Wan Saiful di dalam tulisan beliau adalah masalah besar yang dihadapi oleh PPBM di dalam mendapatkan sokongan golongan wanita, yang membentuk kira-kira 50 peratus daripada pengundi berdaftar di negara ini, di mana kaji selidik beliau mendapati bahawa hanya 17 peratus daripada golongan wanita Johor menyenangi PPBM.
 
Jika dilihat lebih jauh lagi kepada tulisan Wan Saiful di dalam akhbar Sin Chew pada 18 Disember 2016, beliau malah meramalkan bahawa Umno akan memenangi PRU14 dengan menyebut bahawa sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2016, beliau keluar dengan rasa keyakinan mengenai kemenangan Umno dalam PRU14 jika keadaan dalam negara kekal seperti waktu itu kerana strategi Umno didakwa sangat bagus untuk parti itu.
 
Berdasarkan kepada komen-komen beliau yang masih memandang agak positif terhadap Kerajaan Barisan Nasional, termasuk di dalam kolum akhbar The Star beliau pada 11 April 2017, banyak pihak menjangkakan bahawa jika Wan Saiful kembali aktif di dalam dunia politik beliau akan lebih cenderung untuk menyertai Umno, bukannya PPBM.
 
Bila beliau menyertai PPBM, maka sudah tentulah kita boleh menjangkakan nada sangat keras daripada Wan Saiful, dan ini boleh kita lihat di dalam teks ucapan beliau semalam yang menyifatkan kerajaan sebagai “sebuah kerajaan yang korup, yang tidak ada political  will dan tidak mampu untuk berubah”, “pemerintah yang zalim” atau “rejim pemerintah”.
 
Sama-sama kita tunggu dan lihat sama ada Wan Saiful dapat membantu PPBM mengatasi masalah-masalah besar yang dihadapi olehnya, khususnya masalah “untuk PPBM memenangi pengundi Melayu bila mereka bertanding di dalam satu pakatan yang turut disertai oleh DAP”, kerana setakat ini perkara ini masih belum dijelaskan langsung oleh beliau. – HARAKAHDAILY 2/3/2018
- Advertisement -