Keterbukaan kaum Tionghua bukti PAS tidak ditolak

PUTATAN: Penerimaan baik masyarakat Cina terhadap usaha-usaha PAS telah menafikan persepsi di media sosial kononnya kaum Tionghua pesimis terhadap parti Islam itu.
 
Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin berkata, masyarakat Cina menilai dan semakin terbuka terhadap PAS disebalik pelbagai momokan buruk yang dihadapkan kepada PAS.
 
Beliau ditemui ketika program edaran buah limau PAS Kawasan Putatan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di Tanjung Aru, di sini semalam.
 
Katanya, usaha menyantuni masyarakat Cina merupakan budaya baik yang dapat memupuk keharmonian dan merapatkan hubungan termasuk kepada masyarakat majmuk pelbagai kaum negara ini.
 
Edaran yang juga bertujuan memasyarakatkan PAS itu turut diperluaskan kepada kaum Tionghua yang ditemui di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – HARAKAHDAILY 16/2/2018