Kubah 80 tan tersadai di sawah

- Advertisement -
ANTARA kesan ajaib tsunami Aceh tahun 2004 yang rombongan Assabiqun lawati ialah kubah masjid yang tersadai di tengah sawah di Kampung Gampong Surah beberapa kilometer dari Banda Aceh. Kiri kanan lorong masuk ke tapak kubah kawasan sawah, bahkan sekitar kubah pun orang masih bersawah.
 
Ia sebesar lebih dari dua puluh kaki yang dikatakan beratnya 80 tan. Ia tidak cacat sekalipun masjidnya musnah dan dihanyutkan ke situ dari jarak beberapa kilometer. Saya tidak memastikan ia dari simen atau dari logam apa. Tapi tapak kubah itu kini disimen dan dipagar supaya ia terpelihara.
 
Antara yang ajaib ialah ia dikatakan beratnya 80 tan. Bagaimana sebuah masjid yang jauh dari kota ada kubah seberat itu? Dan apa kaedah yang digunakan oleh jurubina membina kubah seberat itu dan boleh ditampung oleh masjid di bawahnya?
 
Ia adalah dari masjid yang terletak di belah belakang bukit. Ia bukan bukit yang kecil walaupun bukan bukit yang besar sangat. Bukit itu kira-kira dua setengah kilometer dari kubah itu terdampar sekarang.
 
Kejadian yang berlaku begitu cepat sekitar pukul lapan pagi itu hampir tidak disedari oleh ramai justeru terjadi tiba-tiba dengan air melanda terlalu deras. Memang semasa tsunami itu melanda tidak ramai yang dapat menyelamatkan diri. Gelombang yang melanda lebih laju dari kelajuan sebuah motokar.
 
Pemandu pelancong tempat itu seorang ibu 40-an. Dia datang dengan motosikal ke situ sebaik kami sampai, tIada pengunjung lain ke situ masa itu. Dia terselamat kerana dia bersalin di tempat lain. Dia tidak menyaksikan air yang deras itu.
 
Katanya kejadian iu disaksikan oleh imam masjid di kampung itu semasa beliau bekerja di atas bukit. Imam itu baru saja meninggal. Dia menyaksikan air datag dari semua penjuru. Dia nampak kubah itu dibawa air deras terapung dari depan bukit ke kawasasn sawah di depannya.
 
Kubah itu adalah dari masjid Kampung Lam Tengah. Kubah itu mulanya mengeliling bukit itu dulu. Dia hanya sedar ketika ia lalu di depan bukit. Setelah ia dihanyutkan begitu cepat, ia kemudian berpatah ke belakang begitu laju juga hingga tersadai di tempat sekarang.
 
Ia berlaku kurang dari setengah jam. Tsunami yang disaksikan oleh imam di tempat itu tidak sampai setengah jam. Masjid Lam Tengah sendiri musnah oleh bencana itu, tetapi kubah itu tidak cacat. Pada hal gelombang tsunami itu menyapu dan melanggar apa saja objek kecil dan besar dan segala sampah sarap tetapi kubah itu yang terpisah dari masjidnya tidak ada-apa.
 
Ia adalah satu keajaiban. Demikianlah Allah menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Apa makhluk yang Allah gunakan untuk membawa kubah itu ke situ? Allah saja yang mengetahui. Ia boleh berlaku dengan perintah kun fayakun.
 
Mungkin samalah dengan kejadian Nabi Sulaiman memerintahkan jin memindahkan istana tersergam indah Ratu Balqis dari Sabak ke Palestin dalam sekelip mata. Sebelum sempat Nabi Sulaiman membuka mata istana itu sudah ada di depannya.
 
Tiddk retak dan tidak sompek. Sebagaimana istana itu di tapak asalnya, demikianlah ia di sebelah istana Nabi Sulaiman di tapak baharunya. Kubah itu tidak cacat setelah tsunami tiada lagi. Ia hanya terpisah dengan masjidnya. Beberapa gerai didirikan di sebelahnya untuk pengujung membeli cenderahati. – HARAKAHDAILY 16/2/2018
- Advertisement -