Putatan terdesak perlukan balai bomba

- Advertisement -
JANUARI lalu warga negeri Di Bawah Bayu dikejutkan dengan kebakaran di Kampung Tebongon, Putatan melibatkan empat kediaman dan kematian kanak-kanak berumur tujuh tahun. 
 
Sejak tahun 2014 sehingga kini, lebih 50 kediaman di sekitar daerah Putatan terlibat dalam kebakaran serta mengorbankan empat mangsa.
 
Kebanyakan kes kebakaran yang berlaku tidak dapat dikawal dan diselamatkan atas beberapa faktor utama seperti jarak balai bomba jauh, serta akses sempit ke tempat kejadian. 
 
Sedangkan hanya terdapat dua balai bomba yang terdekat dengan daerah Putatan iaitu Balai Bomba Penampang dan Balai Bomba Sembulan. 
 
Balai Bomba Penampang berjarak 8.3 kilometer yang mengambil masa 15 minit untuk sampai, manakala Balai Bomba Sembulan berjarak 9.5 kilometer mengambil masa 10 minit, namun bergantung kepada keadaan trafik.
 
Oleh yang demikian, ketua Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Bandar PAS Kawasan Putatan, Asrul Samat menggesa supaya pembinaan balai bomba di Putatan disegerakan. 
 
Menurutnya, rancangan sejak tahun 2009 oleh pihak kerajaan masih belum menampakkan tanda, walhal keperluannya semakin mendesak. Kes-kes kebakaran di daerah itu memerlukan kawalan lebih efektif sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.
 
Beliau menambah, pihak PAS Putatan melalui agensinya seperti Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS serta Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Putatan sering turun ke kawasan yang terlibat dengan kebakaran.
 
Sekadar termampu, mereka menziarahi mangsa dan menyalurkan sumbangan serta melihat sendiri kesusahan mangsa untuk memulakan kehidupan baharu.
 
Ditambah mengalami kemusnahan harta benda dan kehilangan ahli keluarga, malah ada juga yang terpaksa tinggal di pusat pemindahan lebih dari 3 tahun. – HARAKAHDAILY 5/2/2018
 
- Advertisement -