Pakatan tidak pernah sepakat?

PAKATAN yang dibina atas dasar saling berebut kepentingan, ikatannya adalah sangat longgar dan harapan untuk pergi jauh terlalu kabur. 
 
Dulu PR mampu bertahan agak lama kerana PAS membawa watak abang sulong yang sentiasa berlapang dada dan bertolak ansur dengan karenah kebudak-budakkan adik-adik. Kalau PAS ini pesen abang yang pongoh, lama dah adik-adik yang sentiasa cari masalah ini kena luku kepala. 
 
Watak abang yang berjiwa besar ini tiada dalam PH. Mereka adalah adik-beradik serumah tapi dengan selera besar nak bolot makanan untuk diri sendiri sehingga kita akan lihat antara mereka saling membadutkan antara satu sama lain. 
 
Mana ada parti macam PAS yang mempunyai ahli dan jentera tapi berlapang dada menerima calon dari parti lain sedangkan calon parti lain yang bertanding itu hanya datang bawa body dengan penuh bergaya. Petugas PAS buka markas, buka pos pilihan raya, menyediakan jentera, peralatan dan wang ringgit untuk calon parti lain. Malah PAS tolong bayar deposit pilihan raya untuk calon parti lain.
 
Fakta tak dapat dinafikan bahawa PAS hanya bertanding di kawasan yang PAS ada jentera sendiri sahaja. Parti yang mempunyai lebih kerusi dalam DUN tapi mencalonkan calon MB dari parti lain atas dasar persepakatan ialah PAS. Orang tak bincang pun nak buat langkah Kajang, wakil rakyat letak jawatan dan diadakan PRK. Tapi PAS tetap bekerja dan membantu.  
 
Dalam kemelut pelantikan MB Selangor, PAS tetap tak hantar calon dari parti sendiri untuk duduk di kerusi MB. Tetapi MB yang naik kerana pencalonan PAS membalasnya dengan dikurangkan kuota EXCO PAS. Kita tetap sabar dan berkhidmat. Bayangkan apa yang bakal berlaku kalau yang dipotong kuota itu EXCO dari parti lain.
 
Sekarang jagalah pakatan kamu elok-elok. Malu kokram duduk berbalah sama sendiri sampai bising bbangor, kata orang Terengganu!
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/2/2018