Umno-BN dan PH, dua-dua terdesak

- Advertisement -
 
WN
 
MENGHAMPIRI Pilihan Raya Umum Ke-14, Umno-BN dan PH dilihat cukup terdesak hingga membuat tindakan yang amat memalukan di mata rakyat.
 
Dipihak Umno-BN dapat dilihat gambaran yang berlaku selepas melihat banyak program membabitkan agensi kerajaan kini digunakan oleh Ketua-ketua Umno Bahagian khasnya dalam menunjukkan kononnya mereka cakna rakyat.  
 
Tidak kira platform sekolah, institusi pendidikan, majlis rasmi kerajaan, dan sebagainya Umno-BN mengambil kesempatan untuk berkempen.
 
Ini amalan yang memang dilakukan Umno-BN sejak sekian lama, tidak sahaja sejak zaman Tun Mahathir Mohamad malah mungkin sejak pimpinan terdahulu.

{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

- Advertisement -
Kali ini selepas progam pemberian bantuan RM100 di sekolah-sekolah kerajaan dengan kehadiran wakil rakyat Umno untuk ‘tunjuk muka’, mereka tanpa segan silu berkempen di sana sini kononnya wang kerjaan hasil cukai rakyat ini seperti wang Umno sahaja sifatnya.
 
Beberapa juak mereka mula menggunakan wadah seperti PIBG, pengurusan sekolah demi melunaskan kempen mereka menjelang PRU14.
 
Ada sahaja cadangan daripada pihak berkepentingan agar ruang program sekolah, perasmian tertentu digunakan demi memperlihatkan kononnya Umno ini cakna rakyat.
 
Sekali lagi bajet dan wang rakyat diperguna demi kepentingan politik kolot dan monopoli Umno BN.
 
Terbaharu sijil tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2018 membabitkan pelajar tingkatan 1 pula dipolitikkan Umno-BN dengan mengadakan majlis penyerahan surat tersebut. 
 
Walhal sebelum ini surat tersebut boleh diakses melalui laman web sahaja atau melalui pos surat ke alamat pelajar yang layak memasuki MRSM.
 
MRSM adalah sekolah di bawah Majlis Amanah Rakyat, maka ia bukanlah milik Umno-BN yang mana dana dan wang yang berlegar bukan hak parti nasionalis tersebut.
 
Apa yang menyedihkan lagi, segala macam program ini diadakan selain  membazirkan peruntukan dan menggunakan kesempatan berkempen, ia juga menimbulkan rasa rimas dalam kalangan ibu bapa yang terlibat.
 
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Umno lupa bahawa peruntukan dana pendidikan pelajar MARA telahpun dikurangkan, tetapi dalam melunaskan kehendak politik Umno, maka program pembaziran bisa sahaja dijalankan..Inilah Umno. Dulu kini dan selamanya.
 
Begitu juga PH yang kini dilihat sangat terdesak mencalonkan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri walaupun mereka tahu Mahathir adalah insan yang memulakan kerosakan di negara ini dengan segala sistem kronisme, penswastaan menggila, nepotisme, kezaliman selain menjadikan pembangkang sebelum ini umpama merempat di bumi sendiri.
 
Kelantan dan Terengganu dinafikan hak pembangunan dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) menjadi tali barut Umno di dua negeri itu dalam memastikan seksaan kepada kerajaan yang dipimpin PAS dinafikan hak membangunkan negeri dengan baik.
 
Rasuah dan penyelewengan yang berlaku di zaman Mahathir seakan dilupakan PH walhal merekalah dahulunya menggelarkan Bapa Kleptokrat itu sebagai Maha Zalim.
 
Inilah sikap dan sifat keterdesakan yang dapat dilihat diamalkan PH. Tidak sudah dengan itu, PH menjadikan PAS sebagai sasaran fitnah dan cuba mempropagandakan kepada rakyat bahawa PAS ini sebagai sebuah parti yang hanya berangan-angan menawan Putrajaya. 
 
Walhal, merekalah pihak yang paling kuat berangan-angan bersama sang Bapa Kleptokrat  yang dahulunya menzalimi mereka, dan kini mereka tabalkan sebagai PM.
 
Kedua-duanya memang terdesak hingga bertindak memalukan. – eHarakah 27/1/2018 {/mprestriction}
- Advertisement -