PAS K. Terengganu ganti peranan MP

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Ekoran Ahli Parlimen (MP) Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah menyertai parti lain, khidmat kepada rakyat kini dilaksanakan PAS Kawasan berkenaan. 
 
Hampir dua tahun berlalu khidmat kepada masyarakat pengundi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan parlimen berkenaan dilaksanakan Penyelarasnya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
 
Tumpuan juga diberikan kepada Dun Bandar yang diwakili Parti KeADILan Rakyat (PKR), Azan Ismail dan Dun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
 
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Jefri Chua berkata, program khidmat masyarakat sudah dua tahun dilaksanakan PAS Kawasan.
 
Katanya, peranan DHPP menjadi penghubung antara masyarakat bukan Islam dengan PAS.
 
“Selaku Ketua DHPP di sini saya mengambil tanggungjawab mengagihkan nasi percuma kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa.
 
“Masa sangat cepat berlalu, setelah dua tahun kita buat kerja itu sambutan daripada rakyat cukup baik dan memberangsangkan,” ujarnya ketika ditemui kelmarin.
 
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu, turut memainkan peranan mengagih akhbar Harakah kepada warga Dun Bandar.
 
Katanya, penerimaan warga Tionghua yang mana sebelum ini memandang serong kepada PAS semakin terhakis setelah mendapat maklumat sebenar.
 
“Sejak enam bulan lalu saya mengagih Harakah kepada warga Dun Bandar mengikut sasaran tertentu termasuk orang atas pagar, penyokong Barisan Nasional (BN), PKR dan DAP.
 
“Hasilnya, mereka tidak lagi memarahi PAS dalam beberapa isu termasuk tuduhan pimpinan PAS makan dedak Umno, isu RM90 juta dan isu hudud,” katanya.
 
Pada PRU 13 Parlimen Kuala Terengganu dimenangi PAS melalui wakilnya, Raja Kamarul Bahrin menewaskan calon BN, Dato Mohd Zubir Embong  dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 10,785 undi.
 
Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu juga melaksanakan khidmat pemeriksaan kesihatan dan khidmat guaman percuma kepada warga Dun Bandar. – HARAKAHDAILY 27/1/2018
 
- Advertisement -