PRU 14: BN menang GST meningkat

- Advertisement -

PAS yakin kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap rakyat di negara ini sekarang akan naik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan BN terpaksa menaikkan kadar GST bagi menampung hasil kerajaan.

Katanya, jangkaan itu dapat dilihat berdasar kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membayangkan kenaikan tersebut.

“Sebelum ini perdana menteri menyebut kerajaan India mengenakan GST sehingga lebih 20 peratus,” katanya ceramah mega Bangkit Pertahan Parlimen Machang di Kampung Tualang Kudong, Labok malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Mohd Nassurudin Daud, Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Nazman Che Iberahim, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat, Adun Kemuning, Ustaz Mohd Roseli Ismail, Ketua Penerangan PAS Machang, Ir Arifahmin Abdul Rahman dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdul Razak Abas.

Orang ramai memenuhi sekitar tempat berlangsung ceramah bersebelah Pasti Kampung Tualang Kudong.

Sempena program itu turut diadakan gimik penyerahan bendera PAS oleh pemuda PAS yang menyertai konvoi bermotosikal.

Ketika merasmikan mesyuarat Agung Tahunan MIC di Kuala Lumpur tahun lepas perdana menteri dilapor berkata, kerajaan India mengenakan GST sebanyak 28 peratus.

“Tolong ingat itu. Kita di Malaysia baru kena 6 peratus pun dan riuh-rendah bising, marah kerajaan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain malam tadi diadakan pelancaran serentak Bilik Gerakan PAS di 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Kehadiran ramai petugas PAS di setiap kawasan parlimen menggambarkan semangat tinggi mereka bagi menghadapi PRU 14 tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 18/1/2018

- Advertisement -