Penerus cita-cita sang murabbi

- Advertisement -

MINAT dan cintanya kepada ilmu dan pendidikan Islam berputik sejak diusia remajanya ketika menuntut di universiti lagi.

- Advertisement -

Ketika itu,semangatnya berkobar-kobar mahu membela nasib para pelajar  Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) daripada tercicir atau belajar sekerat jalan.

Hari ini, minat dan sumbangan tenaganya dicurahkan sepenuhnya bagi meneruskan delegasi yang ditinggalkan murabbi yang telah pergi menemui ‘sang pencipta-Nya’.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Empunya nama Ustaz Muzaihar Kamal Mustapa Kamal ini merupakan mudir  di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus,Terengganu.

Beliau dilahirkan pada 2 September 1975 dan merupakan anak kelahiran Pulau Pinang sebelum berhijrah dan menetap di Kampung Tok Jiring, sejak lebih 15 tahun lalu.

Lantaran minatnya dalam bidang pendidikan, beliau bersama rakan-rakannya menubuhkan  Institut Ar-Radhzi di Pulau Pinang.

“Bersama rakan-rakan, saya menubuhkan Institut Ar-Radhzi di Pulau Pinang dengan harapan dapat membantu Sekolah-Sekolah Agama Rakyat dan pndok-pondok untuk melayakkan mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti di Universiti Al-Azhar, Mesir,” ujarnya kepada Harakah.

Setelah beliau berhijrah ke Terengganu, Ustaz Muzaihar mula ‘dilamar’ dan ditawarkan berkhidmat di Institut Berakan (IB) yang kini dijenamakan semula menjadi Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman (MTT).

Kesempatan itu telah memberi peluang kepada beliau ‘berguru’ dan menimba ilmu dengan seorang tokoh Murabbi yang amat dikenali d iaitu Allahyarham Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik.

Ketika bersama Allahyarham Ustaz  Abu Bakar, beliau bukan sahaja mencedok ilmu dalam  bidang pendidikan tetapi juga ilmu-ilmu berorganisasi politik dan kemasyarakatan.

“Allahyarham Ustaz Abu Bakar dan Dr Abu Bakar Abdullah yang merupakan pengasas kepada pusat pengajian tahfiz itu. Mereka   mendorong saya supaya meneruskan perjuangan dalam membela sistem pendidikan rakyat agar setanding dengan sistem pendidikan arus perdana,”jelasnya.

Bapa kepada empat orang anak ini juga terlibat dengan Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan diamanahkan beberapa jawatan lain seperti Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Nerus, Setiausaha Urusan Ulamak PAS Kuala Nerus dan Ketua Unit Peti Undi (UPU) Tok Jiring.

Selain itu, beliau juga  aktif dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep) dan Kumpulan Ma’ahad Tahfiz Tarbiyyah (KMTT).

Keterlibatan beliau dalam Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan NGO itu secara tidak langsung memberi rangsangan kepadanya untuk meneruskan perjuangan dalam pendidikan bagi membela generasi akan datang, supaya lebih ramai  generasi al-Quran di negara ini pada masa akan datang.

Ustaz Muzaihar mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dan Sekolah Menegah Agama Al-Irsyad, Pokok Sena, Pulau Pinang.

Kemudian,beliau menyambung pengajian diploma di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) ketika itu yang kini dikenali Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Selepas itu, beliau menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Personaliti muda ini baharu sahaja menamatkan pengajian sarjananya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, Kuala Nerus.

Menjawab persoalan, apakah kesan dengan pemergian Allahyarham Ustaz Abu Bakar  dan pengasasnya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai mudir di pusat pengajian tahfiz itu, beliau dengan tegas berkata sebagai penyambung mata rantai perjuangan ini.

“Kita hanya sebagai salah satu dari mata rantai perjuangan dan hanya menyambung kesinambungan perjuangan-perjuangan mereka yang terdahulu yang banyak berkorban dan bersungguh-sungguh dalam bidang pendidikan.

“Saya selaku mudir atau pengetuanya hanya salah satu mata rantai yang kecil sahaja untuk menyambung kerja-kerja mereka. Mudah-mudahan apa yang kita sumbangkan itu dapat memberi manfaat kepada bidang pendidikan di negara ini.

“Terutamanya, pendidikan agama, pendidikan al-Quran yang menjadi teras dan tunjang. Harapan saya sebenarnya mahu menjadikan pendidikan al-Quran ini bukan sebagai pendidikan sampingan atau alternatif, tetapi pendidikan al-Quran ini mesti diarus perdanakan dan diwajibkan ke atas semua anak-anak orang Islam.

“Ini kerana, dengan al-Quran mereka akan dibentuk sebagai generasi al-Quran yang kita idamkan, Insya’Allah,” tegasnya.

Beliau juga bersyukur kerana saban tahun MTT menerima permintaan kemasukan pelajar baharu yang  menggalakkan.

“Insya’Allah, tahun 2018 ini juga akan dibuka satu program baharu yang telah lama dirancang iaitu Ma’ahad Tahfiz Orang Kelainan Upaya (OKU) Cacat Penglihatan. Kita telah ada tiga orang bakal pelajar yang memberi kesediaan untuk menyambung pengajiannya di sini (MTT),” jelasnya.

Pelajar-pelajar tersebut akan di tempatkan di asrama yang disediakan dengan fasiliti khusus untuk orang cacat penglihatan.

Sehubungan itu, kata Ustaz Muzaihar, sekarang ini pihak pengurusan MTT sedang mengumpul dana bagi menyiapkan beberapa prasarana mereka yang sesuai dengan keperluan golongan OKU.{/mprestriction}

- Advertisement -