NAMA seorang guru, Azizan Manap tiba-tiba menjadi suatu fenomena yang hangat dalam iklim negara. Hari ini golongan pendidik berhimpun di Mahkamah Majistret Seremban bagi menyatakan solidariti atasnya yang didakwa di mahkamah itu. Beliau umpama wira bagi kumpulan pendidik, kerana berani menanggung risiko, dibenci, ditohmah dan dihina hanya kerana memperjuangkan nasib anak bangsanya sendiri.
Kesnya kerana beliau menghukum seorang pelajar yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan seperti menghidu gam, membuli, ponteng sekolah dan memukul murid lain. Atas ketegasan beliau menghukum dengan merotan pelajarnya itu, beliau pula dihukum. Mungkin dunia sudah menemui ke pengakhirannya, guru yang tegas dan bertindak betul terhadap pelajar yang bermasalah pula diheret ke mahkamah dan mahu dianggap bersalah.
Bagi para pelajar khususnya yang sering melakukan kesalahan, watak seperti Cikgu Azizan adalah mala petaka yang ditakuti dan dibenci. Begitu juga dengan ibu bapa yang sering memanjakan anak-anak, sehingga sanggup memberi apa sahaja keinginan anak tanpa sedar baik atau buruk tindakan mereka itu. Mereka pasti menganggap insan seperti Cikgu Azizan adalah musuh yang perlu dibasmi. Namun bagi masyarakat terutama golongan pendidik, Cikgu Azizan adalah hero sebenar kerana berani dan tegas demi menyelamatkan masa depan generasi muda.
Betapa ramai guru yang tidak sanggup mengambil langkah serupa kerana pelbagai faktor, tekanan ibu bapa, ancaman pelajar-pelajar sendiri, tiada sokongan masyarakat, tiada bantuan pihak berkuasa dan lain-lain lagi. Malah, ramai didapati guru yang akhirnya dipukul pelajar, dihina, disindir, ditukar tempat kerja, tidak kurang yang dihukum serta didakwa dengan pelbagai kesalahan. Kesannya, guru-guru mengambil sikap membiarkan segala kebejatan berlaku, asalkan poket mereka tidak kosong dan kedudukan mereka selamat.
Cikgu Azizan mewakili keluhan para guru di sekolah, yang berkubang keringat, air mata dan darah demi mendidik masyarakat. Jasa dan pengorbanan mereka dibayar dengan pelbagai kata-kata pedas yang menguris jiwa. Sikap masyarakat yang mudah menghukum, ditambah dengan bebanan tugas yang tidak sewajarnya umpama mereka pekerja kelas bawahan dalam profesion mereka.
Ketika pelajar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, nama sekolah dan pelajar-pelajar terbabit dijulang. Puji-pujian melangit tinggi serta pelbagai penghargaan diberikan. Hanya sedikit guru diberikan penghargaan. Lainnya, guru dilupakan. tetapi ketika pelajar menghadapi kemerosotan, nama guru dan sekolah pula dibuang. Guru mudah dituduh sebagai tidak acuh dalam pendidikan, mengajar sambil lewa, tidak bersemangat, tidak profesional dan lain-lain. Inilah nasib guru dari dulu sampai sekarang.
Jika Cikgu Azizan tidak tampil dalam isu ini, pastinya saban tahun kejadian jenayah, ponteng sekolah, maksiat dan zina, buli, merokok dan dadah semakin berleluasa. Akhirnya masyarakat menuding jari kepada pesalah utama adalah guru di sekolah. Malah, ibu bapa yang sepatutnya menjadi guru pertama di rumah turut mengambil peranan ‘membelasah’ guru di sekolah. Kegagalan mereka mendidik anak di rumah, menjadi sebab untuk menjadikan guru dan sekolah sebagai sasaran utama. Tidak hairan ibu bapa yang suka menyerang sekolah, tidak langsung mempercayai kesalahan anak-anak mereka kerana tidak pernah mengetahui keterlibatan aktiviti anak-anak mereka di luar rumah.
Hasil sokongan dan tekanan masyarakat, para pendidik, dan mereka yang bersimpati, hari ini terbukti tindakan Cikgu Azizan adalah betul. Mahkamah membebaskan beliau dari tuduhan yang didakwa ke atasnya. Mungkin ini trend terbaru dalam negara ini, dengan tekanan, solidariti dan sokongan netizen serta masyarakat seluruhnya, golongan tertentu mendengar dan mengendurkan tindakannya. Mungkin juga kerana musim PRU ke 14 akan tiba, maka tiba-tiba suara rakyat didengari.
Kita semua mengetahui, hasil didikan keras dan tegas ibu bapa dan guru, selain kasih sayang yang mereka curahkan, kita menjadi manusia berjaya seperti sekarang. Dengan libasan rotan, leteren panjang, sergahan, dan kemarahan guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah menjadikan kita kekal ingat sepanjang hayat. Bahkan, hari ini kita berbangga dengan kesan birat rotan di punggung, kaki dan tangan yang menjadikan insan berguna buat masyarakat dan negara. Nasihat yang sama perlu disampaikan kepada generasi muda sekarang, agar tidak leka dengan belaian manja sepanjang masa! – HARAKAHDAILY 19/12/2017