Kiri Najib, kanan Mahathir, pilih PAS

- Advertisement -

DIBERITAKAN hampir pasti Dr. Mahathir dicalonkan oleh Harapan sebagai Perdana Menteri dalam PRU14 yang duga sekitar tiga bulan lagi.
     
Bukan DS Anwar Ibrahim dan bukan juga Dr. Wan Azizah, Presiden PKR dan isteri Anwar. Tetapi Dr. Mahathir.
     
Pengundi dan rakyat umumnya hendak mengetahui siapa calon Perdana Menteri yang menyaingi Najib, calon tetap dan tunggal BN?
     
Selamanya Anwar dipecat daripada TPM dan Umno hujung 90-an dulu Anwarlah calon PM dari pembangkang baik sebelum dan sesudah Pakatan Rakyat ditubuhkan. Pada malam GERAK, badan ad hoc yang dilahirkan di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar bagi membela Anwar yang baru ditahan, Prof. Jomo mengumumkan Anwarlah calon Perdana Menteri.
     
PAS yang jadi tuan rumah himpunan itu diam saja.
     
Kemudian selama-lamanyalah calon itu Anwar.
     
Setelah  Anwar dipenjara sekali lagi, datanglah Dr. Mahathir ke tengah masyarakat pembangkang dan diterima oleh Harapan sebagai orang paling penting menggerakkan cabaran menyekat Najib dan Umno berkuasa lagi, maka tiada yang lebih bebas menarik perhatian unuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri dari pembangkang selain Dr. Mahathir.
       
Bukan kerana Harapan tolak Anwar tetapi masalah yang Anwar hadapi sebagai orang yang dipenjara, maka Mahathir adalah calon gantian yang diterima oleh setiap komponan Harapan. Anwar tentunya tidak menolak bagi memastikan  pembangkang utama bersatu.
      
Dengan redha Anwar PRU14 bertambah rancak. Kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri ditentukan selepas Najib dan Umno kalah. Biar dia kalah dulu. Itulah hebatnya politik Anwar dan Mahathir sejak Tunku Abdul Rahman Putra digulingkan.
     
Apabila pemilihan Mahathir itu disahkan saja oleh Anwar, maka bersaing hebatlah Mahathir dengan Najib atau antara BN dan Harapan. Apapun ia tidak sama dengan persaingan antara Najib dan Anwar sebagai pencabar Najib dalam PRU13 yang di dalamnya ada PAS.
     
PAS dengan perjuangan Islamnya kembali bersendirian seperti masa ditubuhkan tahun 1951 dan seperti kelahiran Islam selepas kelahiran Nabi Muhammad sebagai Rasul.
      
Sejak tahaluf siyasi dibatalkan semua melihat PAS terlalu kerdil di tengah dua gergasi BN di kiri dan Harapan di kanan. Apabila Mahathir disebut calon PM Harapan, tidak lagi bagi PAS/BN di kiri dan Harapan di kanan, tetapi menjelma Najib di kiri dan Mahathir di kanan.
     
PAS tetap dikira kancil tersepit di tengah apabila Najib dan BN berlaga dengan Mahahir dan Harapan. Dalam cerita rakyat Melayu, kancil tidak pernah penyek di tengah dua gajah berlaga. Logiknya gajah-gajah itu yang cedera.
      
Saya tidak khayal, dengan Islam muncul di tengah dua gergasi kuasa luar dunia antara Rom dan Parsi. Tiada siapa peduli Islam yang di kirinya Rom dan di kanannya Parsi. Kedua-duanya terus berperang sedang Islam maju dengan akidah Islaminya.
     
Yang di kiri remuk dan yang di kanan remuk, Islam muncul di tengah. Rom rebah dan Parsi robek, Islam tegak atas kedua-duanya yang roboh.
     
Semangat Islam inilah yang PAS yakin meletakkan Najib dan Mahathir di tempat Rom dan Parsi dulu.
     
Masa tidak banyak bagi rakyat. Kedua-duanya penjelmaan Quraisy moden meminggirkan Islam yang PAS bawa yang bebas daripada Quriasy sedang kedua-duanya campuran Quraisy sebelum Islam.
     
Dia antara keduanya PAS yang betul wasatiyah. Tidak khayal tolak kiri dan tolak kanan, ambil PAS yang di tengah, pilihan yang betul. – HARAKAHDAILY 14/12/2017

- Advertisement -
- Advertisement -