Suruhanjaya Diraja Bank Negara adalah masalah Umno

Subki 2
- Advertisement -

SEKALIPUN kerugian RM30 billion oleh Bank Negara atas perniagaan mata wang asing di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad adalah satu masalah besar kepada negara dan rakyat, tetapi siasatan suruhanjaya itu dan laporannya adalah masalah Umno.
     
Orang penting negara yang dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya seperti Tun Mahathir, dua menteri kewangan di zamannya iaitu Tun Daim Zainuddin dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seorang pegawai kanan Bank Negara yang memainkan peranan penting dalam perniagaan mata wang asing itu yang kemudiannya dijadikan menteri oleh bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi adalah mungkin di antara orang yang disarankan supaya disiasat polis atas pertanggungjawaban mereka ke atas kerugian besar Bank Negara itu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}
     
Siasatan, pembentukan suruhanjaya diraja dan semua pendengaran keterangan yang kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibuat siasatan rasmi serta kemungkinan hasil siasatan iu akan dimahkamahkan dan mahkamah pula akan mengambil tindakan yang dirasakannya patut adalah bagi memastikan tindakan diambil, jika dibuktikan adanya kecurangan.
     
Begitulah kehendak keadilan. Apabila dilaporkan dan didapati ada pelanggaran undang-undang yang dikira sebagai satu kecurangan, maka tindakan keadilan hendaklah diambil.
     
Orang yang melanggar isyarat lampu trafik apabila ditahan polis pasti akan didakwa dan jika disabitkan kesalahan akan dihukum sewajarnya. Maka ia tidak lain adalah bagi menegakkan keadilan. Tiada tujuan lain melainkan demi keadilan. Sama ada hukuman yang dijatuhkan adalah adil atau tidak adalah masalah lain pula, tetapi usaha yang diambil adalah demi keadilan.
      
Adapun tindakan yang diambil ke atas pelanggaran proses dan kerugian dagangan mata wang asing itu yang sepatutnya adalah satu tindakan demi keadilan, tetapi sebenarnya belum tentulah ia demi menegakkan keadilan.
      
Sesuatu tindakan demi keadilan itu ialah tindakan yang diambil tanpa sebarang keadaan dan pengaruh yang berkaitan yang menyebabkan tindakan diambil. Sebaliknya ia berlaku semata-mata kerana pelanggaran undang-undang telah dilakukan.
     
Nabi Yusuf as dipenjara bukan kerana wazir terserempak isterinya bergelut dengan Nabi Yusuf, tetapi baginda dihukum kerana baginda mengecewakan kemahuan isteri wazir. Isteri wazir yang mahukannya dipenjara.
      
Keadilan tidak berlaku  di situ.
      
Apa yang terjadi  dalam kes pembentukan suruhanjaya siasatan diraja diragui adakah ia semata-mata bagi menegakkan keadilan atau adakah ia adalah disebabkan adanya pergelutan antara dua seteru.
     
Tun Mahathir secara terbuka dan demokrasi hendak menjatuhkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak atas sebab kesalahan yang didakwanya dilakukan oleh Najib.
     
Oleh kerana seteru baru Najib itu juga diragui kebersihannya semasa menjadi perdana menteri dulu, maka dipercayai cara bagi menyelamatkan dirinya adalah dengan didedahkan pula apa yang dipercayai sebagai satu pelanggaran undang-undang yang dilakukan seterunya.
     
Kisah Bank Negara kerugian besar telah tersebar semasa Anwar menjadi menteri kewangan. Mungkin ia sesuatu yang tidak  disenangi Anwar. Mungkin Anwar tidak cukup jantan untuk mentakwilnya secara terbuka. Tetapi adalah mustahil bagi anggota kabinet lain seperti Najib dan Abdullah ataupun Pak Lah untuk tidak tahu langsung tentang hal itu.
      
Apa-apa hal yang mempengaruhi Najib maka Pak Lah berdiam. Oleh itu ia juga mendiamkan Anwar.
      
Pak Lah tidak melakukan apa-apa atas perkara itu apabila menjadi perdana menteri walaupun Mahathir mentakwil kewibawaannya. Malah Pak Lah telah mengambil pegawai Bank Negara yang mengendalikan perniagaan mata wang itu untuk menjadi menteri. Apabila Najib pula menaiki tampuk kekuasaan maka segala kemudahan turut diberikan kepada Mahathir.
     
Mengapa sekian lama dia tidak mentakwilkan keadaan sehinggalah  Mahathir keluar Umno dan menubuhkan parti baru dan menyediakan talkin buatnya? Maka barulah Najib bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya. Jika Mahathir mendiamkan diri sahaja, adakah tindakan yang dikatakan untuk menegakkan keadilan itu akan diambil?
     
Maka bolehlah dikirakan bahawa peranan menegakkan keadilan menjadi perkara yang kurang penting dalam perkelahian dua seteru.
     
Maka bolehkah sebarang hasil siasatan suruhanjaya itu diangkat kepada polis untuk tindakan selajutnya?
     
Sekalipun ia dikatakan demi menegakkan keadilan tetapi keadilan itu adalah perkara yang sudah terkebelakang. Oleh itu bukan mustahil itu adalah hanya perang hawa nafsu.
     
Apa yang berlaku sudah tidak menampakkan bahawa suruhanjaya itu adalah persoalan negara dan keadilan. Ia adalah masalah Umno.
     
Baru satu suruhanjaya ditubuhkan bagi meneliti tindak tanduk pemimpin dan menteri Umno, maka sudah terserlah pemimpin-pemimpin Umno dan menteri-menterinya melanggar peraturan.
     
Jika tindakan kesemua perdana menteri dan presiden Umno diikuti dengan pembentukan suruhanjaya siasatan diraja, mungkin kesemuanya melakukan penyelewengan.
     
Jika diadakan suruhanjaya siasatan atas tersingkirnya Tunku Abdul Rahman daripada tampuk kekuasaan selepas kejadian 13 Mei, 1969, mungkin ada pula pelanggaran undang-undang oleh orang yang beroleh kuasa. Jika ditubuhkan suruhanjaya tentang pelucutan Dato Harun Idris daripada jawatan Ketua Pemuda Umno dan Menteri Besar Selangor, tidak mustahil ia adalah kesan kejadian luar biasa oleh pemimpin-pemimpin Umno.
     
Jika Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir dihadapkan kepada suruhanjaya siasatan di atas tindakan mengisytiharkan mageran di Kelantan yang melucutkan kuasa kerajaan PAS Kelantan kepada pentadbiran Jabatan Perdana Menteri, adakah Tun Hussein akan terlepas seadanya?
      
Tunku yang dikatakan memimpin negara mencapai kemerdekaan mempunyai sifat baik dan buruknya. Tidaklah dia bersifat buruk sahaja dan tidaklah dia bersifat baik saja. Tun Razak juga tidak terlepas daripada masalah yang sama. Jangan pula kita mengatakan bahawa Tun Hussein Onn tidak melakukan kesilapan. Mungkin tidak seteruk Mahathir dan Najib, tetapi jika ada suruhanjaya nescaya akan ada takwil ke atasnya.
      
Mahahir memang banyak mengambil tindakan berani. Jika dibandingkan di antara Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein, maka Tun Mahathir adalah PM yang paling berani, paling cerdik dan paling pintar.
      
Royalti minyak yang tidak diberikan kepada Kelantan adalah antara perkara terawal angkara Tun Mahathir sebelum perniagaan duit Bank Negara. Merampas royalti minyak lima peratus daripada Terengganu adalah atas persetujuan Tun Mahathir dan atas kerelaan Umno Terengganu.
      
Abdullah Badawi tidak memulangkan royalti itu kepada Teregnganu. Manakala Najib pula diam sahaja atas kerakusan orang sebelumnya.
     
Tindakan Najib itu sendiri melayakkan banyak sebab untuk diadakan suruhanjaya. Jika diadakan suruhanjaya, tidak diketahuilah apa kebaikannya? Bukan sekadar kes-kes  angkaranya layak diadakan suruhanjaya siasatan, tetapi dirinya itu sendiri pun mungkin boleh disuruhanjayakan!
     
Tiada siapa yang dapat membela orang yang disabitkan oleh suruhanjaya diraja Bank Negara itu. Apakah ia demi keadilan atau justeru perkelahian sesama seteru? Kerana untuk mengatakan kebenaran tentang masalah Bank Negara tersebut adalah diluar kemampuan mereka?
     
Mungkin Anwar Ibrahim itu salahnya kerana berdiam diri. Semasa bersama ABIM dia adalah juara penentang penyelewengan. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau adalah Umno tulen atau sekadar menumpang tuah. Dengan menumpang di kelambu Umno selama ini maka beliau turut terpalit fitnah yang menyelubungi Umno selama ini.
      
Tentang yang tulen Umno itu, tiada apa yang dapat dikatakan.
      
Mungkin kita tidak boleh berprasangka buruk terhadap Umno, tetapi daripada satu suruhanjaya yang menyiasat tentang orang Umno berkaitan Bank Negara maka pekungnya telah terbuka.
    
Dengan satu suruhanjaya ke atas Bank Negera, ia tidak akan dapat menegakkan keadilan seperti yang disarankan rukun negara. Keadilan itu hanya dapat tertegak dengan Umno itu sendiri disuruhanjaya siasatankan.
     
Hari ini beberapa menteri semasa pentadbiran Mahathir akan disiasat polis. Sebelum tamatnya Transformasi Nasional 2050(TN50) nanti maka Najib pula akan mengalami apa yang dihadapi Mahathir sekarang. Jadi sampai bila baru keadilan itu akan dapat dicapai?{/mprestriction}

- Advertisement -
- Advertisement -