Bajet berteras prinsip Islam hadirkan manfaat

- Advertisement -
IPOH: Perangkaan bajet seharusnya digariskan dengan prinsip Islam sebagai asas penjanaan ekonomi bagi memastikan perbelanjaan pentadbiran negeri bermanfaat.
 
Adun Selinsing, Husin Din menghuraikan, antaranya pengagihan harta dari mana-mana sumber diperolehi dalam negeri hendaklah tidak berlegar dalam kalangan kaya dan tertentu sahaja.
 
Jelasnya, pengagihan kepada seluruh lapisan rakyat secara adil dan saksama mesti berlaku tanpa mengira perbezaan latar belakang mereka.
 
Selain itu tegasnya, cukai diambil pula mestilah dari lebihan harta golongan kaya untuk diagihkan kepada kalangan miskin.
 
“Sepatutnya kerajaan merancang penjanaan ekonomi rakyat dibuat untuk jangka masa panjang yang boleh menaik taraf ekonomi dan membantu berdikari.
 
“Ini boleh diaplikasi melalui projek dan industri kecil luar bandar, bukan sahaja pinjaman dan subsidi, tetapi bimbingan dan latihan yang dipantau,” ujarnya pada Perbahasan Bajet Perak 2018.
 
Beliau melontarkan demikian supaya kerajaan meneliti pemberian atau insentif diberikan mampu menaik taraf golongan miskin dan menurunkan kos sara hidup.
 
Kerana itulah tegasnya, menjadi Fardu Kifayah kepada kerajaan menyediakan kemudahan seperti bekalan air bersih dan elektrik terutama penduduk di pedalaman seperti Sungai Siput dan Hulu Perak.
 
Beliau juga mencadangkan penubuhan Institusi Imam dan Pusat Kegiatan Agama Islam dalam usaha mengembangkan pembangunan modal insan terutama menyelaraskan kursus dan latihan berkaitan dakwah.
 
Selain itu katanya, sebagai memenuhi hasrat menjadikan kalangan agamawan lebih berketrampilan memimpin masyarakatnya dan tidak hanya semata-mata solat jamaah. – HARAKAHDAILY 24/11/2017
- Advertisement -