Peranan masjid boleh bantu bangunkan modal insan

- Advertisement -
IPOH: Peruntukan RM10 juta bagi pembinaan baharu serta baik pulih masjid dan surau adalah usaha yang baik, tetapi peranan pengurusan masjid dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat perlu diseiringkan.
 
Ini supaya peruntukan diberi menjadi satu pulangan, apatah lagi masjid mempunyai dana yang banyak di mana seharusnya dibelanjakan untuk kebaikan masyarakat dan tidak hanya disimpan membeku di dalam bank.
 
Demikian penegasan dinyatakan Adun Gunong Semanggol, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan pada sidang media sempena Sidang Dun Perak, di sini semalam.
 
Beliau menyentuh antaranya isu pengabaian Solat Jumaat dalam kalangan umat Islam, selain pengurusan masjid yang bergerak tanpa modul selaras hingga seolah-olah dikawal kuasa politik.
 
“Pengurusan masjid dan Pegawai Masjid bukan perlu jaga masjid semata-mata, tetapi menjaga ahli kariah masjid seperti hal ehwal jemaah yang berada dalam lingkungan setempat. Antara contoh masalah seperti keretakan rumah tangga, sosio ekonomi dan lain-lain hingga menggugat akidah,” ujarnya.
 
Beliau juga menegaskan, PAS menyeru Kerajaan Negeri Perak untuk memperkasakan pelaksanaan Enakmen Syariah supaya pentadbiran negeri sentiasa berada dalam keredaan Allah S.W.T.
 
Menurutnya, peruntukan RM6.15 juta kepada Jabatan Kehakiman Syariah dalam Bajet Perak 2018 boleh dimanfaatkan dengan program-program penerangan kepada masyarakat supaya memahami intipati Islam dalam kehidupan terutama berkaitan Kesalahan Jenayah Syariah.
 
Beliau juga berharap kerajaan negeri tegas memperkasakan hak orang-orang Islam, terutama berkaitan pelaksanaan Enakmen Syariah bagi mengelak berlaku kerosakan moral hingga umat Islam kehilangan identiti sebenar. – HARAKAHDAILY 24/11/2017
- Advertisement -