Umno terus mengelak bicara isu tragedi Memali

- Advertisement -
BALING: Sikap pembohong dan bacul pemimpin Umno-BN jelas dilihat apabila tidak mahu meneruskan penyiasatan berhubung tragedi berdarah Memali yang berusia 32 tahun.
 
Ekoran itu, Amanat Haji Hadi dikatakan punca kononnya penyebab berlaku kejadian terbabit, walhal Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak pernah diberi peluang menerangkan maksud sebenar berkenaannya.
 
“Peristiwa Memali ini adalah sesuatu yang dahsyat dilakukan oleh Umno-BN terhadap pejuang agama,” ujar Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh sempena Pidato Muslimat di Madrasah Islahiah Diniah, Memali, di sini kelmarin
 
Katanya lagi, pembohongan demi pembohongan dibuat hingga kini mencecah 32 tahun, namun keadilan kepada keluarga mangsa Memali dan terhadap PAS sendiri tidak tertegak.
 
Menurutnya, hanya kerana Ustaz Ibrahim Mahmud mahu membawa manusia ke jalan Islam, beliau dituduh sebagai pembawa ajaran sesat, sedangkan sehingga kini, mereka gagal membuktikan dakwaan.
 
“Itulah sebab kita berharap sangat agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ini segera ditubuhkan agar persoalan dan dakwaan selama ini terjawab. Disamping membersihkan nama beliau dan rakan-rakannya serta membawa keadilan terhadap keluarga dan mangsa tahanan Memali,” tegas beliau lagi.
 
Ustazah Nuridah melahirkan keyakinan bahawa 14 yang terbunuh itu dipilih Allah sebagai syuhada dan mati sebagai pejuang membela agama Allah.
 
Oleh sebab itu katanya lagi, peristiwa ini sering disebut walaupun sudah 32 tahun berlalu dan kebanyakan ahli keluarga yang terlibat merasakan seolah-olah baharu sahaja beberapa hari berlaku.
 
Sehubungan itu serunya, dalam PRU akan datang Umno-BN harus ditumbangkan justeru untuk mengembalikan keadilan terhadap rakyat, selain membawa kembali rakyat menikmati kesejahteraan hidup setelah dibelenggu pelbagai tekanan yang mencecah hampir 60 tahun.
 
“Selagi Islam tidak dilaksanakan negara tidak akan selamat. Kalau hendak sejahtera dunia dan akhirat, maka kena sambut tawaran Allah S.W.T. Yakinlah Allah akan tolong orang yang membantu agama-Nya,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
- Advertisement -