Sedari ketidakadilan dunia terhadap Islam

- Advertisement -
MARANG: Dunia bertindak tidak adil terhadap Islam apabila membisu terhadap kezaliman termasuk pembunuhan ke atas umatnya, tetapi menuduh Islam sebagai pengganas apabila mempertahankan diri.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Ustaz Dato’ Hussien Awang berkata, apabila berlaku tindakan tegas orang Islam terhadap pemimpin zalim, maka ia dikatakan pengganas dan Islam dituduh mengajar keganasan dan pelampau.
 
Sebaliknya, pembunuhan umat Islam di Bosnia-Herzegovina, Palestin, Filipina, Pattani dan Arakan, tidak ada pemimpin dunia menyatakan penyerang sebagai golongan pengganas.
 
“Inilah nilai sedang dilakukan masyarakat antarabangsa terhadap agama kita, terhadap umat kita. Semua ini semata-mata kerana tidak mahu melihat Islam kembali menjadi satu dasar hidup.
 
“Kerana itu ianya menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menegakkan Islam dan melaksanakan syariat Allah S.W.T di atas muka bumi ini,” ujarnya pada Malam Untukmu Rohingya di Masjid Rusila, di sini semalam.
 
Menurutnya, hanya Islam dengan segala perundangan dan tata sosialnya yang dapat memberi jaminan keselamatan kepada seluruh manusia.
 
Katanya, penindasan dan aniaya oleh golongan kufar dan zalim harus menyedarkan umat Islam serta berdoa agar para mustad’afin diberi kekuatan iman dan keyakinan kepada Allah.
 
Kutipan sebanyak RM535,107.75 untuk disumbang kepada pelarian Rohingya telah berjaya dikumpul dan diumumkan pada majlis tersebut, sekali gus menjadikan PAS Terengganu penyumbang terbesar tabung tersebut. – HARAKAHDAILY 10/11/2017
- Advertisement -