PAS Terengganu sumbang lebih RM500,000 untuk Rohingya

- Advertisement -
MARANG: PASRelief Terengganu berjaya mengumpul sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Rohingya sebanyak RM535,107.75 dalam tempoh satu bulan kempennya.
 
Pengarah PASRelief Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejayaan PASRelief Terengganu mengumpul sumbangan melebihi setengah juta itu boleh dibanggakan.
 
Ini katanya, sekali gus menjadikan Terengganu antara negeri tertinggi membuat kutipan bagi mangsa pelarian Rohingya di seluruh negara.
 
“PASRelief sebelum ini menerima kutipan sumbangan negeri Kelantan yang telah dibawa pada Misi Kemanusiaan Rohingya bulan Oktober lepas berjumlah RM120,000 dan sebelum itu PAS Kedah sebanyak RM110,000.
 
“Kali ini PAS Terengganu berjaya mengumpul RM535,107.75 dan PAS Perak menyumbang RM30,700 dan PAS Pulau Pinang RM25,000. 
 
“Terengganu adalah negeri paling banyak menyumbang kepada PASRelief dan semua kutipan itu akan segera dihantar untuk mangsa-mangsa pelarian Rohingya, InsyaAllah,” ujarnya kepada wakil media selepas Ceramah Perdana Malam Untukmu Rohingya di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini semalam. 
 
Pada majlis itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima sumbangan Tabung Rohingya dari PAS Kawasan seluruh negeri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
 
Menurut Muhammad Sanusi, jumlah keseluruhan kewangan yang telah dan sedang dikumpul melalui PASRelief dan disampaikan kepada pelarian mencecah lebih RM2 juta.
 
Katanya, sumbangan itu datang dari orang ramai dan rakyat Malaysia yang prihatin serta kepercayaan umat Islam kepada PASRelief. 
 
Sehubungan itu, katanya keperluan mendesak pelarian Rohingya dalam situasi sekarang adalah makanan, tempat tinggal, bekalan air bersih, tandas dan bilik mandi wanita.
 
“Keperluan yang utama sekali dalam situasi pelarian Rohingya hari ini ialah makanan. Mereka lari sehelai sepinggang dan tidak sempat membawa bersama apa-apa bekalan. 
 
“Sangat ramai yang kelaparan dan mereka sanggup berebut, pijak-memijak hanya untuk dapatkan bekalan makanan. Bahkan, ada mangsa-mangsa pelarian itu yang mati terpijak kerana berebut makanan. 
 
“Khemah-khemah (Shelter Home) yang dibuat oleh PASRelief  diberi keutamaannya kepada balu, ibu tunggal dan keluarga anak yatim. Balu-balu yang suaminya dibunuh oleh tentera di Myanmar dan mereka bawa lari bersama anak-anak,” jelasnya. 
 
Menurutnya, sehingga bulan Oktober ini PASRelief telah bina 100 buah Shelter Home yang boleh didiami oleh 100 keluarga, hamir 100 Tubewell, 15 buah sekolah serta beberapa buah masjid. 
 
Katanya, pembinaan sekolah dan madrasah juga menjadi keutamaan PASRelief kerana 66 peratus dari pelarian Rohingya itu merupakan kanak-kanak.
 
“Kita (PASRelief) juga buat sekolah untuk anak-anak Rohingya kerana 66 peratus pelarian itu terdiri dari kanak-kanak. Sepatutnya mereka itu berada di alam persekolahan. 
 
“Kita buat sekolah, kita pilih 15 orang guru daripada graduan dari International Islamic University of Chittagong. Kita buat kurikulum yang sesuai dengan orang Rohingya dan bukan kurikulum Bangladesh. 
 
“Ini (kurikulum) penting supaya mereka ada semangat untuk balik semula ke Arakan, Myanmar. Sekarang ini kita ada 15 bilik darjah dan setiap satu bilik darjah boleh isi 40 pelajar dan bergilir sesi pagi dan petang,” ujarnya. 
 
Selain itu, kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah bahawa keperluan mendesak bagi pelarian wanita adalah tandas dan bilik mandi.
 
“Tandas dan bilik mandi untuk wanita juga antara yang menjadi keperluan mendesak pada waktu ini dan ada (kaum ibu) yang tidak mandi satu bulan, dua bulan kerana tidak ada tempat mandi. 
 
“Wanita Islam Rohingya ini sangat menjaga aurat mereka dan tidak mandi di tempat terbuka,” ujarnya yang telah tujuh kali mengikuti misi PASRelief.
 
Misi PASRelief yang pertama pada September, misi keduanya bulan Oktober lalu bersama dengan Timbalan Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Pahang, Ustaz Sallehen Mukhyi dan Ustaz Rosli Abdul Jabar, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh serta beberapa orang pimpinan PAS Pusat. 
 
Harakah dimaklumkan, operasi PASRelief itu bermula sejak bulan Februari 2017 dan telah tujuh kali masuk Bangladesh dan misi kelapan kali ini bersama Team Terengganu pada 12 hingga 17 November 2017 ini. – HARAKAHDAILY 10/11/2017
- Advertisement -