Dilambung Ombak (bahagian 2)

Foto hiasan.
- Advertisement -

MALAYSIA sedang dibangunkan menjadi sebuah negara maju dan mempunyai teknologi tinggi. Sekurang-kurangnya, begitulah yang dicanang oleh seluruh pimpinan negara terutamanya perdana menteri ketika itu.

- Advertisement -

Aku seorang jurutera muda dan diterima bekerja sebagai eksekutif penyelenggaran mesin di sebuah syarikat kerajaan di ibukota. Sebagai anak muda berjiwa merdeka dan bergelora bersemangat untuk memajukan negara, aku berazam untuk berkerja bersungguh-sungguh membina kerjaya cemerlang di syarikat itu.

“Hebat kau, pagi-pagi sudah sampai ke pejabat. Malam-malam masih di pejabat.” Pujian seorang rakan sekerja. Dia sudah bersedia untuk pulang dan sedang menuju ke mesin perakam waktu sedangkan waktu berkerja masih ada sekitar setengah jam lagi.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

“Aku orang baru. Banyak benda hendak dipelajari. Lainlah abang, sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.” Jawab aku selamba.
“Tidak ingat anak bini di rumah ke?”
“Aku belum ada anak. Isteri aku balik sendiri ke rumah.”
“Kau buat apa di pejabat sampai malam-malam?”

“Kadang-kadang aku main ping-pong. Lepas itu aku mentelaah buku dan manual. Mesin baru ini berteknologi canggih. Satu-satunya mesin sebegini di Asia. Aku mahu orang kita berjaya menguasai mesin ini sepenuhnya.”

“Hmmm… Aku balik dulu.” Mimik muka rakan sekerja sinis. Aku terasa ada terselit perasaan jengkel terhadap aku dan aku mempersetankannya.

Anak Melayu

Tiga bulan aku berkerja di syarikat di mana, hampir semuanya anak bangsa Melayu. Kami, sekitar 32 orang eksekutif, jurutera dan pengurus telah dipilih dan dihantar ke Kanada selama 6 bulan untuk dilatih mengendalikan operasi dan penyelenggaraan mesin tercanggih ini. Inilah satu-satunya peluang aku ke luar negara secara percuma dan siap diberikan elaun agak lumayan. Kos kami ke Kanada telah dimasukkan ke dalam kos projek dan elaun diberikan oleh syarikat.

Kami bertungkus-lumus belajar di Kanada dan aku juga tidak ketinggalan. Di Kanada kami dilatih secara formal di dalam kelas dan menjalankan amali secara tidak formal. Setiap peperiksaan, aku berusaha memperolehi markah paling tertinggi. Selalunya aku berjaya, kadang-kadang dikalahkan oleh beberapa orang jurutera dan pengurus yang begitu dedikasi. Ramai yang menjalani latihan berharga itu sambil lewa sahaja.

Kami kembali ke tanah air setelah latihan tamat dan meneruskan kerja-kerja seperti sebelum ini iaitu menyelongkar teknologi mesin berteknologi tinggi ini dari manual, kertas kerja projek, lukisan kejuruteraan dan bertanya kepada jurutera-jurutera syarikat pembekal mesin ini, sama ada mereka berada di sini atau di Kanada melalui pelbagai medium terutamanya email.

Selalu aku bertekak dengan kakitangan syarikat pembekal apabila mereka gagal menerangkan teknologi mesin ini dengan baik dan pernah aku menghalau seorang jurulatih syarikat pembekal dari kelas kerana salah memberi maklumat, banyak tergamam, tergangap-gagap dan memberi pelbagai jawapan tidak munasabah apabila ditanya tentang mesin ini.

Peristiwa itu menjadikan aku terkenal di syarikat ini dan syarikat pembekal kerana keberanian dan kelantangan menghalau jurulatih didatangkan dari kilang pengeluar mesin di Kanada kerana prestasi mengajarnya sangat mendukacitakan.

“Azam, kamu ditugaskan untuk membantu jabatan projek. Kamu kena memantau perkembangan pembinaan bangunan pentadbiran.” Pengurus kanan memberi arahan di suatu pagi.
“Bos, aku tiada ilmu dan pengalaman dalam bidang kejuruteraan bangunan. Lagi pun masih banyak ilmu berkenaan teknologi mesin ini, aku masih kabur. Apabila mesin ini sampai nanti, takut kita tidak dapat menguasai teknologinya.”

“Tiada alasan!” Pendek dan tegas jawapan dari pengurus kanan.
“Baiklah bos. Saya cuba buat sebaik mungkin.”
“Ok. Sila keluar dan buat kerja kamu.”
Ternyata kesombongan tanpa boleh dirunding menguasai kebanyakkan pengurusan di syarikat ini. Suatu budaya yang menyesakkan dada.

Dua kerja

Aku terpaksa membuat dua kerja iaitu mempelajari teknologi mesin tercanggih ini serta mengajarnya kepada juruteknik dan menyelia bangunan mega pentadbiran serba canggih juga. Dua atau tiga kali seminggu aku ke bangunan pentadbiran yang masih dalam pembinaan untuk memantau perkembangan pembinaan bangunan itu. Setiap minggu juga aku terpaksa membuat laporan dan membentangkan dalam mesyuarat.

“Bahagian projek telah dikecilkan dan ramai kakitangan jabatan tersebut diberhentikan atau ditukar ke projek lain. Sekarang Jabatan Operasi telah diarahkan oleh Ketua Pengawai Eksekutif untuk lebih bersedia untuk mengambil-alih pemantauan semua bangunan.” Antara poin yang dimaklumkan kepada kami oleh pengurus besar operasi.  

Poin itu menjadikan kami bertambah resah. Sukar juga pegawai bahagian operasi dari pelbagai latarbelakang dan pastinya bukan berlatarbelakangkan kejuruteraan bangunan untuk memantau projek. Namun ianya tetap ditelan walau pun pahit.

“Azam, kamu kena bantu Bahagian Projek menyediakan tender susun atur pejabat.” Arahan dari pengurus kanan.
“Bos, mana aku tahu hendak buat tender.” Jawab aku keberatan.

“Tender disediakan dan dikeluarkan oleh Jabatan Projek. Kamu bantu juruteranya menyediakan tender sahaja. Jika diharap sepenuhnya kepada mereka, pasti bangunan kita lambat untuk disiapkan.”
“Habis macam mana dengan mesin ini. Jika saya tumpu kepada projek, pengetahuan tentang teknologi mesin yang bakal dihantar tidak lama lagi sukar untuk saya hadam. Apatah lagi untuk mengajar juruteknik penyelenggaraan tentang teknologi canggih serba asing bagi kita ini? Mereka itu masih baru diambil bekerja dan ada yang baru sahaja keluar dari universiti.”
“Tiada alasan.”

Beban kerja terus bertambah berganda dan tiada alasan dapat dipertimbangkan oleh bos.
Pagi-pagi aku sudah sampai ke pejabat dan tengah malam baru menjejaki kaki ke rumah. Semua itu kerana ingin anak Melayu menguasai teknologi canggih mesin kami dan memastikan bangunan pentadbiran disiapkan mengikut jadual. Mesin akan tiba dan bangunan mesti disiapkan sebelum mesin tiba. Pening!

Aku mula menelaah organisasi syarikat ketika beroperasi nanti. Sekarang kakitangan operasi sedikit dan akan bertambah secara drastik sebelum operasi bermula. Ruang pejabat mereka perlu disediakan mengikut jabatan dan pangkat.

Kemudian mengkaji pula setiap tingkat bangunan dan mengira keluasan ruang yang ada. Dari keluasan ruang dan organisasi optima Jabatan Operasi, perlu disediakan pula susun atur pejabat, pantri, bilik latihan, kantin, bilik pemandu, bilik mesyuarat dan sebagainya.

Perlu pula mengira dan menyediakan kemudahan yang sesuai untuk semua kakitangan mengikut jabatan dan pangkat. Peralatan pejabat seperti meja kerusi kaitangan, meja kerusi tetamu, sofa, kabinet dokumen dan sebagainya wajib sesuai dan berbeza mengikut darjat pangkatnya. Pastinya pengurus yang lebih tinggi mempunyai kelengkapan yang lebih mewah dan kakitangan di bawah lebih sederhana. Semuanya perlu betul mengikut spefikasi Jabatan Sumber Manusia.

Perlu juga aku mengkaji berapa banyak punca kuasa untuk setiap ruang pejabat, partisyen yang sesuai, warna partisyen, sambungan telefon dan komputer.

Semua  maklumat itu dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat. Paling merimaskan apabila semua rekabentuk ruang pejabat dipertikaikan dan diarah untuk dirombak. Ada yang terpaksa dirombak sepenuhnya, sedangkan masa sudah kesuntukan.

Apabila semuanya sudah selesai, semua maklumat itu diserahkan kepada jurutera bahagian projek untuk penyediaan tender dan aku kembali merasa lega kerana sudah kurang sedikit bebanan kerja dan dapat menumpukan kepada latihan kepada anak buah sahaja. Beberapa bulan aku melupakan tender tersebut.

“Azam, dokumen tender sudah siap dan beberapa sebutharga telah kita terima. Bahagian projek semakin mengecil dan kita diarah untuk mengambil-alih projek ini sehingga siap sempurna.” Pengurus kanan memaklumkan berita yang menyesakkan dada.
“Apa yang perlu saya buat?”

“Kamu kena nilai semua sebutharga ini dan pilih yang terbaik. Sediakan dokumen justifikasinya sekali.”
Aku mengambil dokumen terbabit dan beredar dan kembali sibuk dengan urusan tender.
Aku pilih sebuah syarikat bumiputera yang sangat baik prestasinya. Harga tendernya RM700 ribu dan syarikat ini mampu menyediakan 90% dari keperluan tender. Dokumen justifikasi aku serahkan kepada pengurus kanan.

Bagus

“Bagus Azam! Cepat kamu siapkan dokumen-dokumen ini. Dokumennya lengkap dan baik sekali justifikasinya.” Puji pengurus kanan.
“Saya terpaksa berkerja sehingga larut malam untuk menyediakan dokumen itu semua.”
“Saya tahu. Saya puji dedikasi kamu itu.”
“Kenapa bos tidak beri kepada rakan-rakan sekerja yang lain. Asyik-asyik bos beri kepada saya saja.”
“Kamu saja yang boleh diharap.”

Orang bawah dilarang keras untuk memberi sebarang alasan dan orang atasan boleh memberi apa jua alasan tanpa dipertikaikan. Hodoh budaya berkerja di syarikat ini. Aku terus beredar keluar dari pejabat pengurus kanan dan meneruskan kerja-kerja teknikal untuk menerima mesin baru.
“Bos, pengurus besar nak jumpa.” Kerani menefon aku.
“Kenapa dia nak jumpa aku pula? Pengurus kanan mana?”
“Pengurus kanan cuti.”

Ala… malas sungguh aku hendak mengadap pengurus besar ini. Orangnya kecil, putih dan sangat jarang bercakap dan tersenyum. Bahasa Inggeris yang dituturkannya cukup tinggi bagi aku. Bahasa Melayu seperti sudah lenyap dari atas muka bumi ini baginya.

Aku mengadap pengurus kanan beberapa hari selepas itu setelah dia kembali dari bercuti.
“Bos, pengurus besar arahkan supaya justifikasi penerima tender ini diubah. Dia tidak mahu syarikat bumipetera ini. Dia arahkan tender ini diberi kepada syarikat asing!”

“Kenapa?”
“Dia mahu anak syarikat kita yang terima tender ini… Dia kata, biar keuntungan berlegar dalam kumpulan syarikat ini sahaja. Saya tidak setuju. Dia marah siap maki hamun saya.”
“Kenapa kamu tidak setuju?”

“Macam mana saya hendak setuju. Syarikat yang dia mahu itu bukan syarikat bumiputera. Malah harga yang ditawarkan syarikat itu berjumlah RM1.5 juta. Harga sekali ganda dengan syarikat yang saya pilih. Bukan itu sahaja, malahan syarikat itu cuma boleh menyediakan 65% dari keperluan tender. 35% keperluan tender tidak dapat dipenuhinya dan kita kena buat tender lain. Berjuta ringgit terlibat dengan tambahan kos tender ini sahaja!”

“Kamu buatlah seperti yang diarahkannya. Kerja kita menjadi mudah…”
“Kalau bos mahu menerima syarikat dicadangkan, bos teruskan. Saya tidak setuju dan tidak mahu terlibat dengan penyelewengan seperti ini. Ini duit syarikat. Duit kerajaan.”
“Azam, kamu bekerja penuh dedikasi tetapi kedegilan kamu ini akan menyebabkan kamu disenarai hitamkan. Susah kamu nanti. Kerjaya kamu juga akan terjejas.”

“Kita sedang belayar dilautan luas, taufan sedang bertiup kencang dan samudera berombak ganas. Jika rasa bahtera kita besar dan kuat, mampu untuk terus mengharungi taufan dan dilambung ombak… maka teruskan pelayaran. Jika rasa bahtera kita kecil, maka eloklah cari bahtera lain yang lebih sesuai atau berlabuh saja di mana-mana pelabuhan atau teluk, terlindung dari ribut taufan dan ombak gila mengganas.” Azam teringat kata-kata yang pernah didengarinya itu dan terus meninggalkan pejabat pengurus kanan.

Pengurus kanan hanya mengeleng-gelengkan kepala kesal.{/mprestriction}

- Advertisement -