Deko Naleq promosi bunga manggar

- Advertisement -

KUNJUNGAN Harakah ke Pantai Cunang, Tanjung Sepat 29 Oktober lalu disambut mesra oleh Pengerusi JKK Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Sarimah Jamil.

- Advertisement -

Di kesempatan itu penulis berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana proses anyaman pelbagai produk yang ditempah oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka untuk program Festival Perkahwinan Orang Asli dihasilkan oleh para penduduk tempatan.

“Mereka tempah 100 bunga telur, 2 jambangan bunga pelamin, 2 bunga manggar dan 15 bunga untuk VIP. Kami di sini juga ada kumpulan yang dipanggil Deko Naleq untuk mempromosikan anyaman.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5”}

Kalau ada majlis kenduri kahwin, orang akan panggil kita untuk buat pelamin tradisi dan sebagainya. Hasil daripada semua ini kita akan simpan dalam tabung untuk modal, jadi ini salah satu sebagai salah satu usaha mempertingkatkan ekonomi untuk kaum wanita di sini,” kata Sarimah.

Sambil memegang bunga manggar berbentuk seakan paku pakis, dengan raut wajah tenang beliau menerangkan bahawa tempahan adalah terbuka kepada semua kaum dan warisan turun-temurun itu tetap diteruskan supaya tidak pupus ditelan dek arus kemodenan.  

“Golongan muda hari ini kebanyakannya lebih bangga mengenali gajet-gajet terkini, sebaliknya tidak tahu tentang anyaman. Oleh itu kita bagi kursus menganyam pada para belia sebulan sekali.

Sekurang-kurangnya mereka tahu bagaimana untuk menghasilkan bunga manggar; identiti orang asal itu. Jikalau tidak tahu menganyam maka mereka bukan orang aslilah,” ujarnya sambil ketawa, dipersetujui rakan-rakannya yang kelihatan tekun melakukan peranan tugas masing-masing.

Dalam masa yang sama beliau juga tidak menafikan bahawa ia bergantung pada minat seseorang individu. Ini kerana jika mempunyai minat maka anyaman itu boleh dibuat dengan mudah, begitu juga sebaliknya. Jikalau tidak berminat dengan anyaman, ia akan menjadi perkara yang amat membosankan tambahnya lagi.

Kagum melihat kepantasan jari-jemari mereka dalam menganyam bakul bunga telur, penulis difahamkan oleh Sarimah bahawa mengikut adat perkahwinan orang asal, mereka diwajibkan menggunakan pelamin tradisi.
 
Namun begitu para penganut agama Islam dikecualikan dalam hal tersebut.
Sambil memerhatikan rakan di sebelah kirinya yang cekap memotong daun nipah menggunakan pisau khas beliau menjelaskan bahawa kesemua tempahan tersebut akan siap dalam masa tiga atau empat hari, mengambil masa dari waktu pagi hingga petang.

“Kalau hendak buat 100 bunga telur akan ambil masa 2 hari dengan tenaga kerja 6 atau 7 orang. Terdapat bahagian tertentu perlu disiapkan terlebih dahulu, kita sambung sulam dan kemudian proses potong pula.

Sudah siap buat bakul bunga telur ini, baru kita buat bunga manggar pula. Idea itu yang penting- bagaimana toreh daun dan anyam sememangnya memerlukan kemahiran. Barang-barang lain tidak mahal, bagi saya idea seni itu yang lebih mahal,” katanya.  

Deru ombak Pantai Cunang berselang-seli dengan keindahan pasir pantai memutih yang masih lagi mengekalkan keunikannya, serasa amat menenangkan jiwa.

Di kesempatan itu Sarimah menegaskan kepada penulis bahawa para penduduk tidak mahu akan kewujudan hutan batu.
Hutan pokok hijau seperti di pantai inilah yang kami ingin kekalkan. Kami tidak akan buang, malah ini yang kami tanam bersama Adun Tanjung Sepat YB Haslin Hassan dalam tahun 2014 jelasnya lagi.

Bercerita tentang impiannya, riak wajak beliau jelas menunjukkan harapan yang tinggi agar seni kraftangan orang asli dapat pergi lebih jauh.

“Saya berhajat untuk membesarkannya lagi sebagai identiti orang asli, malah terkenal di seluruh dunia. Semua orang boleh menggunakan produk kami sekaligus boleh menjadi punca pendapatan dari segi ekonomi juga,” katanya dalam nada bersungguh-sungguh.

Ketika diajukan soalan berkenaan pendapatnya mengenai YB Haslin serta apa yang diinginkan untuk pembangunan tempat tersebut, Sarimah mengakui bahawa beliau adalah seorang yang bertolak-ansur.  

“Jikalau ada perkara yang saya tidak berpuas hati, saya akan beri kritikan membina. Saya mohon agar YB Haslin mencantikkan lagi kawasan Pantai Cunang ini. Perkara ini akan menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara,” kata beliau.{/mprestriction}

- Advertisement -