Banjir di Pulau Pinang: Tegurlah dan bantulah

- Advertisement -

MENEGUR dan mengkritik adalah satu keperluan. Agama adalah nasihat. Ia perlu sebagai muhasabah kepada manusia yang sering lalai.

- Advertisement -

Namun jangan ada dalam hati perasaan “padan muka kau” semasa menegur. Yang ditegur pula perlu berlapang dada. Jangan anggap orang menegur itu berniat buruk kepada kita.

Orang yang ikhlas menegur adalah yang tetap akan menghulur bantuan jika yang ditegur itu dalam kesusahan. Bukan hanya tahu mencari salah tetapi juga membantu mereka keluar dari masalah.

Contohnya, apabila seorang lelaki yang sedang melakukan maksiat, tiba-tiba kemalangan di hadapan kita. Sebagai muslim, wajib bantu dia. Tetapi dia juga perlu diingatkan bahawa mungkin kemalangan itu adalah teguran daripada Allah, supaya beliau sedar dan takutkan Allah.

Dalam keadaan susah itulah, manusia lebih cepat sedar berbanding sewaktu mereka bersenang-lenang. Ditambah dengan bantuan kebajikan yang dihulur, semakin mudah untuk menyentuh hati mereka. Kedua peluang ini harus diambil.

Jom ke Penang. Hulurkan bantuan kepada seluruh mangsa banjir. Jangan pilih bulu. Jangan kenang kisah lalu.

Ketepikan perbezaan bangsa, kaum, agama atau pandangan. Letakkan insaniah di hadapan. Walau kebanyakan mereka cina. Walau mereka non muslim. Walau ada yang pernah menentang Islam. Walau ada yang bermusuh dengan kita sampai sekarang. Tapi mereka tetap manusia yang berhak untuk terus mengecap ehsan tuhan. – HARAKAHDAILY 5/11/2017

- Advertisement -