Kerajaan mesti bertindak isu banjir P. Pinang

- Advertisement -
GEORGETOWN: Tragedi banjir besar dan tanah runtuh terkini yang berlaku di Pulau Pinang adalah terburuk dan telah menyebabkan gangguan kepada kehidupan seharian penduduk, demikian menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris.
 
“Ya, telah berlaku hujan lebat tanpa henti dan angin yang sangat kuat. Tetapi faktor utama yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh ini adalah disebabkan oleh penghapusan hutan bukit. Penolakan sungai dan pembangunan di Pulau Pinang yang telah menggantikan kawasan hijau dengan konkrit. 
 
“Ini mengakibatkan hujan lebat yang tidak dapat dialirkan kerana kehilangan pokok dan kawasan yang bertindak sebagai ‘span’ menyerap air dan kerana sistem sungai dan saliran tersumbat oleh lumpur dan tidak dapat membersihkan air hujan.
 
“Kerajaan negeri harus menyedari sepenuhnya bahawa kita berada dalam krisis alam sekitar dan sosial. Ia tidak boleh dinafian lagi bahawa kita mempunyai masalah yang besar dan harus ditangani,” ujarnya mengingatkan kerajaan negeri sepatutnya tidak mempertahan dan menafikan bahawa tiada krisis atau masalah.
 
Beliau yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) menuntut kerajaan negeri memperuntukkan lebih banyak dana pemuliharaan dan baik pulih lereng bukit yang rosak, serta mendalamkan sungai-sungai supaya dapat mengalir dengan baik.
 
Kerajaan negeri juga tuntutnya, mesti memperuntukkan lebih banyak kakitangan untuk memeriksa cerun bukit dan tanah bersebelahan bukit dan mengambil tindakan pencegahan.
 
“Kerajaan negeri mesti menggesa dan memastikan pemaju swasta untuk mengambil langkah-langkah pencegahan tambahan. Jika mereka didapati tidak berbuat demikian, atau hujan di masa depan menyebabkan masalah sama, mereka harus didakwa secara serius di mahkamah dan membayar denda.
 
“Kerajaan negeri harus mengkaji kekurangan dan kelemahan dalam undang-undang dan garis panduan untuk kualiti alam sekitar, pembangunan lereng bukit, saliran yang mencukupi dan mengambil tindakan untuk menghapuskan kekurangan dan kelemahan ini,” gesa beliau.
 
Tambah Idris, tindakan juga harus diambil untuk menghentikan semua kerja di lereng bukit atau di tanah tinggi tanpa mengira sama ada tanah dan cerun ini adalah di bawah atau melebihi 250 kaki.
 
Sehingga katanya, kajian dilakukan ke atas semua projek dan aktiviti di kawasan tersebut, serta menghentikan semua kerja yang sedang dilakukan di kawasan tanah bersebelahan dengan cerun bukit atau tanah tinggi di mana membawa risiko hakisan dan tanah runtuh.
 
“Semua projek yang diluluskan di atas tanah tinggi dan di atas tanah yang mempunyai lereng bukit, sama berada di atas 250 kaki atau tidak harus ditunda dan dikaji semula dengan langkah-langkah tambahan harus dikenakan.
 
“Ini untuk memastikan kawasan itu selamat dan mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memantau projek-projek ini,” ujarnya.
 
Beliau turut menggesa menghentikan kelulusan untuk semua projek baru di tanah tinggi dan lereng bukit dan di tanah bersebelahan dengan cerun bukit sama ada tanah tersebut melebihi 250 kaki atau tidak, selai  meminta ditiadakan pembangunan di rizab sungai. 
 
Kerajaan negeri terangnya, harus mempunyai cara baik pulih yang melibatkan perancangan negeri serta perancangan dan penilaian projek dan proses kelulusan oleh pihak berkuasa perbandaran. 
 
Mereka tegasnya, mesti meletakkan kepentingan rakyat dan alam sekitar jauh dari kepentingan para pemaju. 
 
Idris turut mendesak Kerajaan Persekutuan memainkan peranan utama dengan memperuntukkan dana kecemasan untuk Pulau Pinang bagi menangani masalah risiko cerun bukit, tanah runtuh dan banjir. 
 
“Kerajaan Persekutuan harus segera mengukuhkan peranan dalam bidang di mana ia mempunyai kuasa seperti untuk membuat penilaian impak alam sekitar terhadap projek-projek. 
 
“Juga melaksanakan tanggungjawab atas proses kelulusan dengan serius serta memantau kesan persekitaran dari projek-projek yang sedang dibangunkan,” aju beliau. – HARAKAHDAILY 5/11/2017
- Advertisement -