Selepas ini, ada lagi hendak dibentang sebagai bajet tambahan?

IDRIS
- Advertisement -

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Saya mulakan dengan ayat Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 29, [Membaca sepotong ayat al-Quran] ‘Dia
yang menjadikan kamu apa yang ada di bumi ini keseluruhannya.’

- Advertisement -

Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana yang dibentangkan di dalam Bajet hari Jumaat lalu oleh Yang Amat Berhormat Pekan, maka sudah tentulah ini merupakan yang disebutkan sebagai alamatul qubra, tanda alamat besar pilihan raya sudah hendak dekat.Jadi sebab itu tidak perlu dinafikanlah sebagaimana yang kita sebut, ‘sudah terang lagi bersuluh’. ‘Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.’ Bajet 2018 ini yang telah pun dibelanjakan, dibentangkan untuk cadangan sebanyak RM280.25 bilion iaitu untuk pengurusan sebanyak RM234.25 bilion yakni 83 peratus dan pembangunannya ialah RM46 bilion sedangkan kutipan hasilnya ialah sebanyak RM239.86 bilion.

Tuan Yang di-Pertua, nampaknya dalam bajet baharu ini kita anggap semua sektor dapat sebab itu saya sebut tadi di antara tanda-tanda besar pilihan raya ini mungkin bajet yang terakhir untuk menghadapi pilihan raya. Semua sektor dapat. Tok Ketua dapat, Tok Imam dapat, Tok Siak dapat, Tok Batin dapat, cuma saya hendak cadangkan kepada Yang Amat Berhormat Pekan tambah satu lagi, Tok Mudim. Tok Mudim itu ketinggalan sedikit patut Tok Mudim kena bagi juga RM1,500.00 supaya- jadi Yang Berhormat Parit Sulong boleh sokong lah untuk beri kepada Tok Mudim ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Jurunikah? Wali hakim?

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Jadi satu lagi ialah Tok Kadi ya.Akan tetapi di sesetengah tempat, macam di Kedah, dia Tok Imam itu dia tolong akad nikah. Macam di Perak diasingkan naib kadi dengan imam itu lain. Jadi kalau macam ini keadaan, kalau boleh setiap tahun bila pilihan raya ini diadakan tiap tahun lebih baik kerana rakyat akan dapat menikmati yang banyak.

Tuan Yang di-Pertua, belanjawan pada kali ini semua disebut sebagai belanjawan ibu segala belanjawan dan belanjawan yang mahal dan terbaik. Persoalan saya, selepas ini adakah lagi bajet yang hendak dibentangkan lagi ataupun hendak dipohonkan lagi kepada Dewan untuk sebagai bajet tambahan? Ini sudah banyak, sudah besar.

Keduanya ialah apakah langkah-langkah yang hendak diambil ataupun pelan ‘B’ oleh kerajaan hendak ambil ataupun hendak merangka satu pilihan seandainya harga minyak jauh lebih tinggi daripada harga pasaran pada kali ini? Adakah kerajaan untuk
membuat satu pelan ‘B’ untuk merangka bajet yang sesuai dengan situasi? Ini kerana sebagaimana kita maklum, kita lebih banyak bergantung kepada sumber daripada PETRONAS.

Walaupun digambarkan tahun 2017 ini pertumbuhan ekonomi kita sebanyak 5.7 peratus tetapi realiti masyarakat di lapangan ataupun semua wakil rakyat ataupun Ahli Parlimen sedar bagaimana kos sara hidup tetap tinggi, harga barang keperluan tetap
mahal. Jadi, kita sebut tentang 5.7 peratus ini. Malahan juga, rungutan dari kalangan peniaga-peniaga- saya tidak jumpa lagilah kata peniaga-peniaga yang mengatakan suasana ekonomi ataupun perniagaan mereka itu baik.

Saya selalulah pergi dekat pasar dekat dengan kawasan saya dekat Pasar Simpang, saya tengok, saya tanya tauke-tauke yang meniaga di situ, dia kata, “Memang teruklah, YB”. Memang saya tengok suasana meniaga itu tidak sepatutnya bukan pasar kampung, pasar pekan dekat dengan Pekan Simpang Empat.Jadi kalau kita tengok di sini pertumbuhan ekonomi kita memang baik, 5.7 peratus, tetapi realiti yang berada di lapangan sana kita tengok harga barang mahal, kos sara hidup mahal sehinggakan ikan kembung ataupun di sebelah utara panggil ikan termenung, harganya sampai RM18 sekilo. Harga ikan sardin ataupun di sebelah utara dipanggil ikan curut, harga sebanyak RM12. Kerang- kerang ini kawasan Parlimen saya di antara tempat yang orang menternak kerang juga- sekarang sudah meningkat sampai RM10 hingga RM12.

Dahulu ini sewaktu saya pergi berhari raya, kalau kita makan kerang di rumah orang waktu hari perayaan raya itu, orang ini kita anggap miskinlah. Kerang waktu itu harganya sekilo, 40 sen, 30 sen. Daging waktu itu dalam RM10 ataupun RM12. Sekarang
kerang harga RM10 hingga RM12. Makna, kalau orang makan kerang ini orang kaya.Kalau kita pula makan daging hari ini- ini realiti, bukan kita hendak fitnah cakap. Persoalannya, kenapa jadi seperti begitu? Ini yang menjadi tanda tanya kepada kita
apabila kita bercakap tentang perkembangan ekonomi kita baik dan sebagainya.Begitu juga kalau kita tengok kalau ekonomi kita baik, kalau kukuh ekonomi kita, kenapa sampai kepada elaun sarjana pelajar-pelajar yang mengaji Sarjana Muda
Perguruan yang elaun mereka sebanyak RM430 dan elaun perjalanan RM500 di IPG dipotong?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kuala Selangor bangun.

Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam bin Haji Ibrahim [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Yang Berhormat Bukit Gantang. Saya tertarik apabila Yang Berhormat Bukit Gantang membangkitkan tentang soal harga ikan kembung, ikan sardin dan sebagainya. Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Bukit Gantang. Parlimen Yang Berhormat Bukit Gantang juga terdiri daripada nelayan. Nelayan memaklumkan tangkapan mereka stabil tetapi apabila harga sampai kepada pengguna, ia boleh meningkat ada kalanya dua hingga tiga kali ganda. Jadi pada pandangan Yang Berhormat Bukit Gantang, setuju kah Yang Berhormat Bukit Gantang bahawa ini adalah permainan oleh setengah-setengahgolongan seperti orang tengah yang cuba memanipulasikan bekalan sehingga menaikkan harga barangan tersebut? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Kuala Selangor. Sesuai dengan dia merupakan bapa kepada nelayan-nelayan yang ada di Malaysia ini, yang
menjadi Pengerusi kepada LKIM. Jadi inilah sebenarnya kadang-kadang kita tengok- sebab itu benda ini kita bincang lama sudah. Masalah nasib nelayan ini kita bincang lama sudah. Masalahnya ialah masalah orang tengah. Ini sebagai Pengerusi LKIM kena membuat satu revolusi, connect istilah dengan revolusi macam SPRM buat revolusi, basmi rasuah. Jadi LKIM juga boleh buat untuk itu dengan Blue Ocean Strategy dengan lain-lain pihak untuk memastikan supaya pembelaan terhadap nelayan ini terbela.

Kita tengok memang kehidupan nelayan ini antara benda kita tengok, mereka satu- waktu musim tengkujuh ini. Dia pergi pinjam duit dengan orang tengah ataupun dengan tauke. Nanti apabila balik nanti, dia balik daripada laut, dia tidak tengok apa sudah, semua dikaut-kaut sebagainya. Sedangkan kalau kita tengok, dia pergi laut, ikan bilis itu, kalau orang yang betul-betul mahir sebagainya, dia boleh mendapatkan pendapatan dia sehari kalau pergi, mungkin dapat anggaran sampai dekat RM1,000 dengan RM800. Tetapi realiti berlaku ialah masalah orang tengah. Itu satu hal. Akan tetapi persoalannya hari ini ialah berkenaan dengan harga barang itu meningkat. Apabila kita tanya peniaga, peniaga kata kes barang meningkat ini kes minyak.
Hendak tanya lagi pasal apa barang naik, dia kata pasal tol. Tanya pula lagi, dia kata pasal GST.
Sama juga nasib pekebun-pekebun durian di kawasan saya, mengalami nasib yang sama. Sekarang ini kita tengok mereka jual kepada peraih lebih kurang RM7 atau RM8 sekilo tetapi dijual di Kuala Lumpur sampai RM25 ataupun RM22 satu kilo. Jadi sebab itu selalu saya sebut- ini benda saya akan bincang di dalam Peringkat Jawatankuasa nanti berkenaan dengan hal yang berkaitan dengan nasib peniaga-peniaga ataupun di kalangan pekebun-pekebun durian.

Tuan Yang di-Pertua, ini ialah merupakan satu perkara yang kita membabitkan begitu saya kaitkan lagi ialah oleh kerana kalau pertumbuhan ekonomi kita baik dimaklumkan di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2017, kadar pengangguran di kalangan rakyat Malaysia seramai 54,100 orang menganggur, ertinya hampir dekat dengan setengah juta. Jadi saya bimbang dengan kadar pengangguran yang tinggi ini, ia akan memberikan kesan sosial kerana manusia ini apabila dia tak dak makan, tak dak minum,
hok yang tak dak pegangan agama dan moral, mereka boleh buat apa sahaja, asalkan mereka hendak kepada makan. Ini yang kita tengok betullah macam Teori Maslow sebut, dia kata manusia ini yang dia hendaknya ialah soal berkenaan dengan apa yang penting ialah berkenaan dengan dia hendak iaitu makan dahulu, kepentingan perut dia dahulu.

Jadi kita bimbang kalau dengan kadar pengangguran yang ada seperti begini, yang kita bimbang datangnya masalah-masalah sosial dan juga dengan tidak nafikan saya banyak kes-kes yang saya duduk consult, dengan izin, iaitu kes-kes berlakunya
penceriaan apabila dengan sebab pengangguran, kena buang kerja, kadang-kadang hilang pedoman dan sebagainya. Macam-macam boleh terjadi. Maka, akhirnya akan menimbulkan kesan sosial akibat daripada pengangguran yang tinggi ini.

Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan kesihatan ataupun kemudahan kesihatan.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Minta laluan sedikit Yang Berhormat.

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Ya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Ya.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Yang Berhormat. Saya tertarik dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat tadi berkaitan dengan beban kos hidup rakyat. Kalau kita lihat di kawasan sempadan, di antara
isu utama masalah rakyat apabila nilai ringgit yang semakin turun menyebabkan harga kos hidup semakin mahal dan ditambah pula dengan GST yang sentiasa menekan rakyat. Jadi apa pandangan Yang Berhormat apabila ada pihak yang mengatakan
bahawa GST tidak membebankan rakyat sedangkan setiap hari kita lihat peniaga-peniaga terbeban, perniagaan mereka tidak laku, ada yang tutup kedai dan sebagainya? Jadi macam mana pandangan Yang Berhormat dalam isu ini?

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Rantau Panjang. Saya tidak faham lah kalau orang kata GST tidak membebankan rakyat. Kalau dulu kita beli dengan harga RM10, tiba-tiba dengan kita bayar RM10.60, tidak tahu lah sifir atau matematik, RM10 itu lebih mahal daripada RM10.60.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bincang berkenaan dengan soal yang berkaitan dengan kemudahan kesihatan. Kita hendak supaya rakyat kita sihat. Oleh sebab itu selalu saya sebut, kalau wartawan tanya saya perkara yang tidak boleh di kompromi.
Antaranya ialah soal bajet peruntukan untuk Kementerian Kesihatan, untuk Kementerian Pertahanan, untuk Kementerian Pendidikan. Ini perkara-perkara yang tidak boleh untuk kita kompromi.

Oleh kerana ini merupakan asas kepada pembinaan sebuah negara dan rakyat yang sejahtera. Antaranya adalah kita hendak supaya rakyat sihat, ini yang penting. Apabila rakyat sihat ini, kita tengok produktiviti negara kita juga akan meningkat. Jadi,
apabila rakyat kita tidak sihat, maka ia akan menjejaskan kepada kualiti hidup rakyat kita pada hari ini. Maka, dengan bajet yang di peruntukkan sebanyak 26 bilion ini, kita harapkan supaya ia nya dapat memberikan kebaikan untuk kepada rakyat.
Oleh kerana kita lihat hari ini, sepatutnya kalau mengikut WHO, dari segi bajet kita ini sekurang-kurangnya lapan peratus daripada KDNK kita, lapan peratusnya dikhususkan kepada untuk bajet kesihatan.

Tuan Yang di-Pertua, sekarang kita tengok bagaimana doktor pelatih yang diumumkan dalam Bajet 2017, bagaimana doktor pelatih seramai 2,600 orang yang akan ditempatkan pada tahun 2017. Itu pun hanya bertaraf sebagai kontrak semata-mata. Tidak pernah berlaku dalam sejarah bagaimana anak-anak kita belajar di fakulti perubatan, balik untuk buat housemanship di hospital kerajaan selama dua tahun, tiba-tiba status mereka hanyalah sebagai doktor kontrak semata-mata. Lepas dua tahun nanti kalau ada peluang kerja, macam orang lain juga, ada peluang, maka adalah tempat untuk mereka untuk berada di hospital kerajaan. Kalau tidak ada, mungkin kalau hospital swasta, dia pun hendak ambil doktor-doktor yang ada pengalaman sikit. Akan tetapi apa akan jadi kepada mereka ini? Sedangkan kita menyebut tentang pertumbuhan ekonomi kita baik. Kenapa terjadi sampai 2,600 pelajar, anak-anak kita yang belajar fakulti perubatan, yang kita tahu mereka belajar selama enam tahun.

Saya tahu, kita berkawan dengan anak-anak kawan, member-member semasa berada di universiti dahulu. Kita yang belajar fakulti Islam ataupun fakulti sastera, fakulti lain, walaupun kita belajar hanyalah dalam masa empat tahun, kita telah grad, keluar kerja. Mereka pula enam tahun belajar fakulti perubatan, bukan macam orang lain. Mereka belajar, kita tengok orang lain tidur, mereka belajar, orang lain bercuti, mereka belajar. Tiba-tiba, kita bayangkan apabila keluar 2,600 orang untuk yang diumumkan bajet tahun lepas, mereka hanyalah bertaraf sebagai doktor kontrak. Ini amat malang kepada kita. Apakah asas yang menyebabkan doktor kita tidak ditempatkan di hospital kerajaan? Adakah kita tidak ada duit? Adakah hospital sekarang ini tidak ada tempat dan sebagainya? Ini yang perlu kita lihat. Sudah lah begitu, hampir juga setahun lebih keluar daripada universiti, tidak dipanggil untuk mengadakan ataupun latihan praktikal di hospital. Hampir dekat setahun lebih kita lihat mereka ini tidak dipanggil untuk membuat housemanship, dengan izin, di hospital kerajaan. Saya bimbang, takut mereka lupa pula ilmu mereka yang pelajari nanti. Setelah setahun, orang sakit kepala, dia bagi ubat sakit perut pula. Jadi, ini kita runsing. Jadi, sebab itu sedangkan kita harapkan ini benar-benar tidak berlaku. Saya juga pernah minta, mohon dulu, saya harap supaya gred doktor ini daripada UD41, mula terus dengan UD48. Ia tidak boleh samakan dengan sastera, pengajian-pengajian ekonomi, pengajian lain, sepatutnya mereka itu daftar sahaja sudah mendapat UD48.

Saya sudah minta dulu dalam bajet tetapi jawapannya ialah kita tidak ada bajet atau kewangan dan sebagainya. Ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Oleh kerana pada kita, kita kena jaga, ini merupakan sebagai sumber manusia kita yang penting, anak-anak kita, anak-anak negara kita yang belajar di sini, yang bersusah payah, tiba-tiba mereka itu macam seolah-olah tidak dihargai. Sedangkan mereka belajar enam tahun, keluar 41. Kawan mereka belajar empat tahun, keluar juga Gred 41.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak cakap tentang soal tentang pendidikan sekolah agama rakyat. Walaupun diumumkan dengan SABK sebanyak RM50 juta tetapi pendidikan sekolah agama rakyat ini lain. Sekolah agama rakyat ini ialah sekolah yang masih mereka itu hanya register dengan pejabat agama, Jabatan Agama Islam negeri. Akan tetapi tidak diberikan peruntukan di dalam bajet ini. Sepatutnya kepada mereka ini diberikan sekurang-kurang Tuan Yang di-Pertua, ini sebagai satu bentuk konsep pendemokrasian di dalam pendidikan. Kita biarkan orang hendak buat sekolah-sekolah sebagai dengan secara sukarela. Sekurang-kurangnya ia menampung bajet daripada kerajaan, sekurang-kurangnya mereka meringankan bajet kerajaan untuk mereka mengusahakan sendiri sekolah mereka.

Kita kembali baliklah dengan per kapita yang pernah diberikan, bukan banyak mana pun. Berikan setiap pelajar hanyalah RM60 hingga RM90 tetapi ditarik balik pada zaman Perdana Menteri yang lalu. Kita tengok ditarik balik. Kita lihat ini satu perkara yang tidak sepatutnya. Sepatutnya peruntukan untuk sekolah agama rakyat ini diberikan walaupun sekolah maahad tahfiz tidak diberikan juga kali ini. Cuma diberikan peruntukan pendawaian kepada IKM.

Tuan Yang di-Pertua, iaitu berkenaan dengan hal yang berkaitan soal sektor pelancongan. Oleh kerana negara kita ini Allah SWT jadikan dengan kejadian alam semula jadi yang baik, flora dan fauna yang cukup baik. Di kawasan saya sendiri pun ada
terdapatnya pantai yang dipenuhi dengan hutan bakau dan kelip-kelip. Saya sempadan dengan Bagan Serai lah, kelip-kelip dia jaga separuh, saya jaga separuh, dia wilayah dia, satu wilayah saya. Jadi, sebab itu perlu diberikan perhatian kerana ini adalah merupakan sumber kita yang perlu kita pertahankan. Perlu kerana ia adalah merupakan salah satu daripada sumber kewangan negara kalau kita menjaga dengan baik.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bercakap tentang kebajikan tentera. Walaupun keluarga saya tidak ada seorang pun tentera dan tidak ada sesiapa pun ada kaitan dengan saya tetapi ini rintihan. Semalam saya pun berjumpa ketika minum kopi, semalam di kawasan saya. Kita tengok ada di kalangan mereka menuntut antaranya adalah soal berkenaan dengan tentera ini perlu diberikan. Semalam dan hari ini pun dalam paper tunjuk bagaimana Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Dato Sri Anuar sebut, dia kata, rayu agar skim sara hidup untuk diberikan kepada tentera-tentera kita yang tidak berpencen.
Lebih kurang dekat 200 ribu yang tidak berpencen. Dia minta supaya RM500, kalau tidak boleh bagi RM500 pun, sekurang-kurangnya kita cadangkan RM300 sebulan pun sudah memadai lah sebagai menghargai mereka. Kalau RM500 sebulan, saya dok calculate, tengok, darab dengan 200 ribu, sebulan lebih kurang 100 juta dan satu tahun 1.2 bilion. Ini sebagai menghargai lah tentang sumbangan. Pada saya ialah sumbangan tentera. Begitu juga saya minta pihak kerajaan juga membuat kaji semula, terutama angkatan tentera kita, pencen tentera kita, yang pencen tahun 70an dahulu.  Ada di kalangan mereka yang pencen hanya ada RM200 pun ada, RM300 ada.

Saya rasa perlu dikaji baliklah kerana sedangkan zaman mereka ini, zaman pertempuran yang cukup dahsyat, yang bertempur dengan bombing trap, yang bertempur dengan komunis, yang bertempur dengan pengganas-pengganas, zaman itu. Sudah tentulah sepatutnya perkara ini perlu dikaji supaya kita memberikan keutamaan kepada golongan ini supaya sebagai satu penghargaan kita kepada mereka. Begitu juga saya hendak menyentuh apabila tol dihapuskan sebanyak empat tol.
Jadi persoalan saya, hendak tanya juga, walaupun bajet untuk 2018 ini kita telah memperuntukkan sebanyak RM448 juta untuk pampasan tol. Untuk pampasan tol ini kita berikan untuk tahun 2018. Ini saya hendak tahu, untuk pampasan mana sebanyak RM448 juta, hampir dekat dengan setengah bilion kita berikan untuk pampasan tol, kalau ikut dari segi anggaran bajet di sana. Saya juga hendak bertanya berkenaan bilakah Tol Gombak-Bentong akan dihapuskan?

Tuan Yang di-Pertua, ada kadang-kadang apabila kita bercakap soal tol, marah kenaikan-kenaikan harga tol, jadi dijawab oleh pihak kerajaan, dia kata, “Kalau tidak mahu lalu jalan tol, lalu jalan alternatif”. Tidak mengapalah. Masalahnya, jalan alternatif ini jalan yang tidak dibaiki. Jalan patutnya kalau hendak kenakan tol, biarlah ada jalan alternatif yang cukup baik, jalan yang agak luas membolehkan pengguna ini memilih jalan alternatif daripada tol. Sekarang ini, kita mahu atau tidak mahu, terpaksa kita melalui jalan tol.Macam baru ini, macam kita lihat, tol dekat dengan Batu Tiga. Orang hendak pergi Kuala Lumpur, mahu atau tidak mahu, memang kena lalu ikut tol itu. Mahu atau tidak mahu sebab itu tidak ada jalan alternatif yang terbaik. Oleh sebab itulah kita harapkan supaya kualiti jalan alternatif atau jalan persekutuan ini diperbaiki.

Tuan Yang di-Pertua, saya masih bercakap tentang kos sara hidup tadi walaupun tadi pun apabila ada Yang Berhormat Menteri menjawab soal kerajaan akan menubuhkan KR1M 2.0. Saya pernah bangkitkan benda ini, berkenaan dengan KR1M ini. KR1M ini, masalah KR1M ini Tuan Yang di-Pertua, saya pernah cadangkan apabila Kedai Rakyat 1Malaysia ini hanya sepatutnya dikhaskan kepada orang-orang yang memang miskin sahaja boleh beli. Patutnya begitu tetapi dijawab oleh Yang Berhormat Menteri dulu, dia kata sesiapa pun boleh beli. Tidak patut fasal KR1M itu ialah merupakan salah satu daripada cara
kerajaan untuk hendak mengambil duit kerajaan itu diberikan kepada bantuan untuk membuat Kedai Rakyat 1Malaysia. Sepatutnya KR1M ini adalah dikhaskan kepada untuk orang-orang miskin sahaja. Macam kita, tidak layak beli. Dia kena buat sistemlah. Ini kalau buka semua, akhirnya kita tengok, KR1M pertama, kita tengok gagal. Tidak ada seorang
pun yang berani hendak buat lagi. 

Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan keselamatan. Hari ini saya ucap tahniahlah dan kita harapkan cakapan itu akan bertindak. Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam berita yang diberitakan, bagaimana polis akan bertindak kepada sembilan dragon, sembilan naga. Naga kepala tujuhkah, naga kepala limakah, tidak tahu. Apa yang disebut diketuai oleh Datuk, Dato Sri, Tan Sri. Kita tidak hendak negara kita ini ditadbir oleh mafia. Kita tidak mahu, sebab itu kita harapkan pihak keselamatan ambil tindakan. Tidak kira jerungkah, pauskah, biliskah, wajib diambil tindakan. Macam mana mungkin dragon boleh dapat RM5 bilion daripada mafia-mafia yang terdapat dalam negara ini? Oleh sebab itu perkara ini, perkara yang kita tidak boleh untuk kompromi dalam hal-hal yang membabitkan soal keselamatan negara ini.

Saya juga hendak bangkitkan berkenaan dengan kebajikan OKU kerana OKU ini merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia dan antaranya ialah berkenaan dengan al-Quran braille, mashaf Malaysia yang saya pernah bangkit dalam Bajet 2017 dulu. Kita harapkan supaya penglibatan dalam untuk menguruskan al-Quran braille mashaf Malaysia ini dengan kerjasama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan pihak KDN hendaklah memantau terhadap pengeluaran al-Quran braille ini.

Kedua ialah saya mencadangkan juga supaya elaun dan bantuan kendiri EPC yang sekarang ini untuk hendakkan dapatkan RM400 sebulan itu syaratnya mesti pendapatan OKU ini ialah mesti RM1,200 ke bawah. Patutnya tidak perlu ada syarat macam itu. Dia OKU sahaja, dia layak dapat. Kalau RM1,200 pun, apa sangat. Kalau mereka RM1,200 ini, kadang-kadang mereka terpaksa ulang menggunakan kenderaan ke tempat kerja mereka, RM30 sehari mereka terpaksa membayar. Jadi tidak ada makna juga dengan RM1,200 gaji mereka. Oleh sebab itu, tidaklah perlu disyaratkan dengan RM1,200 ke bawah. Jadi, berikan kepada mereka yang untuk menguruskan diri mereka tadi. 

Ketiga ialah bantuan kepada ibu bapa atau penjaga kepada OKU. Sekarang memang kita lihat kerajaan telah memberikan pengecualian cukai kepada ibu bapa yang bekerja. Macam mana pula mak, ayah yang tidak bekerja sedangkan mereka itu menjaga anak mereka. Kadang-kadang terpaksa berhenti, tidak bekerja sebab untuk menjaga anak-anak mereka yang tidak bekerja, yang terlantar di sana. Oleh itu, kita harapkan supaya diberikan sekurang-kurangnya RM500, RM550 kepada OKU yang terlantar ini, kepada penjaga dan juga ibu.

Keempatnya ialah berkenaan dengan Majlis Kebangsaan OKU yang memang diwujudkan di bawah Akta OKU 2008. Majlis ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri, anggotanya terdiri daripada wakil-wakil OKU dan berbagai-bagai pihak. Jadi
sebab itu, saya mencadangkan supaya Majlis Kebangsaan OKU ini dikendalikan dengan bentuk sepenuh masa supaya pembelaan terhadap OKU dapat dibela dengan baik. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad semasa membahaskan Bajet 2018 pada persidangan Dewan Rakyat, 30 Oktober lalu.

- Advertisement -