Beri insentif kepada pesara sempena Bajet 2018

khairil
- Advertisement -
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pernah mengeluarkan statistik pada tahun 2015 bahawa 65 peratus daripada pencarum mempunyai simpanan di bawah RM50,000 pada usia 54 tahun. Sedangkan unjuran jangka hayat penduduk Malaysia kini semakin meningkat sehingga 75 tahun.
 
Hal ini agak membimbangkan kerana bererti kebanyakan pesara mempunyai simpanan hanya sebanyak itu untuk digunakan sepanjang kehidupan lagi 20 tahun. Ini belum difaktorkan oleh keperluan untuk pembayaran khidmat kesihatan atau sebarang desakan berkaitan kewangan lainnya.
 
Perkara ini berbeza dari situasi dihadapi oleh para pesara kerajaan yang mungkin agak selesa dengan jumlah pencen diterima. Pun begitu, dengan cabaran kos sara hidup kian meningkat saban hari kini, jumlah pencen yang diterima juga boleh semakin berkurangan kuasa belinya.
 
Maka dalam mencapai kesejahteraan semua golongan, perhatian kepada golongan pesara ini perlu sentiasa dicaknai oleh pihak kerajaan. Setelah juga diakui bahawa tenaga yang mereka curahkan sepanjang tempoh perkhidmatan merupakan sebahagian sumbangan kepada negara.
 
Teladan seumpama boleh diaplikasikan dari pendekatan dilaksanakan Khalifah Umar Al Khattab R.A yang pernah memberi insentif khas kepada golongan ini. Usaha dilakukannya menunjukkan pemerintah menaungi golongan ini ketika mereka tidak lagi punya keupayaan mencari pendapatan.
 
Beliau berkata, “Kita tidak berlaku adil kepadanya apabila kita mengutip cukai daripadanya semasa dia muda, tetapi kita biarkan dia melarat semasa tuanya. Sedekah itu diberikan kepada orang-orang fakir dan miskin. Orang tuan ini termasuk daripada golongan itu.”. 
 
Perkara itu dinyatakan Umar ketika terjumpa seorang tua Yahudi yang buta dan miskin, lalu dengan kata-kata itu mempolisikan bantuan. Insentif khas itu diberi secara berterusan melalui baitulmal bagi golongan itu melangsungkan kehidupannya ke akhir hayat.
 
Sedangkan, pada sesi-sesi bajet negara yang lalu, bantuan lebih bersifat ‘symptomatic‘ iaitu sekadar hanya untuk kegunaan cabang. Sedangkan desakan yang wujud kepada golongan pesara kini memerlukan pendekatan ‘systemic‘ yakni bersistem menyelesaikan punca masalah.
 
Oleh itu, sempena sidang Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, suka untuk kami mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh dikemukakan kerajaan bagi dipertimbangkan ke arah menangani permasalahan yang kami dinyatakan.
 
Pertama, perkasakan fungsi Baitulmal bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi. Walaupun Baitulmal di bawah bidang kuasa negeri, Kerajaan Pusat dapat berbincang dengan negeri-negeri menerusi JAKIM bagi menyeragamkan inisiatif ini. 
 
Inilah solusi yang diceritakan Allah di dalam surah Yusuf berkenaan pelan tindakan untuk menghadapi tahun-tahun mencabar. Ianya dikoordinasi melalui bantuan secara berpusat dan diuruskan oleh mereka yang hafizun alim (dipercayai lagi bijaksana dalam mentadbir).
 
Kedua, mewujudkan inisiatif menjadikan golongan pesara sebagai mentor kepada golongan muda. Selain daripada kepakaran para pesara dapat dimanfaatkan, ia juga memberikan ‘a sense of purpose‘ kepada mereka dalam menyumbang pembinaan negara khususnya kepada golongan muda.
 
Ketiga, menyedia peruntukkan bagi pembangunan pusat aktiviti warga pesara di setiap daerah. Konsep ini diambil daripada sistem pondok bagi warga tua di Kedah dan Kelantan. Tempat ini menyediakan pengisian rohani dan aktiviti bagi mereka. 
 
PAS sebagai organisasi politik juga telah menyediakan penyelesaian lebih menyeluruh melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). WINS merupakan model pentadbiran negara di mana dihasratkan untuk dilaksana kepada Malaysia yang akan diterajui pemerintahannya oleh PAS.
 
Usaha itu ke arah membina masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Inilah sebahagian cadangan kami yang diharap dapat dipertimbangkan kerajaan untuk manfaat kepada rakyat. 
 
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
26 Oktober 2017 | 6 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 26/10/2017
BajetMuda 1
BajetMuda 2
BajetMuda 3
BajetMuda 4
BajetMuda 5
- Advertisement -