Kerjasama Hamas dan Fatah

- Advertisement -

SITUASI terkini yang berlaku di Palestin amat membimbangkan apabila rakyat Gaza dihalang untuk mendapatkan rawatan kesihatan di luar, dipotong bekalan elektrik dengan menghalang kemasukan bahan bakar, dihentikan bantuan dan elaun sara hidup untuk keluarga miskin, bekas tahanan Israel dan keluarga syuhada.

- Advertisement -

Rakyat Gaza menderita tekanan hidup dan ekonomi sehingga membawa kes kematian akibat halangan keluar untuk mendapatkan rawatan dan elektrik pula hanya dibekalkan selama 4 jam setiap hari.  

Keadaan ini mendesak HAMAS dan FATAH memeterai perjanjian damai dengan kehadiran pegawai perisik Mesir.

Perjanjian damai telah ditandatangani oleh Timbalan Ketua HAMAS yang baharu, Salah al-Arouri dan Ketua Delegasi FATAH, Azzam al-Ahmad. Lanjutan daripada itu, kedua-dua pihak akan menyerahkan tanggungjawab bagi lintasan sempadan Rafah di Gaza dan kawalan pentadbiran Gaza kepada kerajaan perpaduan selewat-lewatnya 1 Disember ini.   
 
PAS berpendirian bahawa perjanjian kerjasama yang dilakukan adalah semata-mata di atas kepentingan rakyat Palestin khasnya di Gaza, mengatasi kepentingan lain.

Dalam perbualan telefon sewaktu saya dihubungi oleh Syeikh Ismail Haniyyeh, Ketua Biro Politik HAMAS, beliau menyatakan bahawa HAMAS tidak akan keluar daripada prinsip perjuangan Islam dan jihad membebaskan Palestin.

Kami sentiasa mendoakan kepada Allah supaya pimpinan HAMAS tetap berada di atas jalan istiqamah menegakkan Islam. Kami memahami keadaan darurat yang menimpa mereka sekarang tetapi darurat itu hendaklah diambil dengan sekadarnya sahaja.

Kami mengulangi komitmen PAS dalam memperjuangkan isu Palestin sejak daripada dahulu lagi dan kami juga mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin seluruhnya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Safar 1439 / 26 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 26/10/2017

- Advertisement -