KT Bypass: Rakyat dikemudiankan, kepentingan siapa diutamakan?

- Advertisement -

PROJEK KT BYPASS sedang rancak berjalan. Sudah banyak rumah rakyat dirobohkan setelah urusan pengambilan semula tanah rakyat bagi tujuan projek jambatan bypass yang kononnya akan mengurangkan kesesakan lalulintas.

- Advertisement -

Secara peribadi, saya merasakan projek ini bukanlah menjadi keutamaan buat masa sekarang kerana tiadapun isu kesesakan lalulintas melampau di laluan binaan bypass tersebut. Tapi ini bukan bererti saya anti pembangunan. Cuma hati ini resah memikirkan nasib orang kampung saya sendiri yang tanah dan rumah kedai mereka terlibat dengan pengambilan semula tanah milik keluarga turun temurun sejak sebelum wujudnya Akta Pengambilan Tanah 1960.

Tanah-tanah yang dianugerahkan kepada rakyat sebelum wujudnya Kanun Tanah Negara 1960 sebenarnya masih belum menggunakan sistem syarat penggunaan tanah sebagaimana yang ada sekarang iaitu tanah bersyarat bangunan, pertanian dan industri. Yang ada dalam geran yang berusia berpuluh tahun itu kekadang dicatat syarat kampung, kelapa, padi atau TIADA.

Mereka bukan menolak pembangunan yang nak dibawa, tapi biarlah dengan pampasan yang memadai. Hak mendapatkan pampasan yang mencukupi adalah dijamin dalam undang-undang induk negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Dalam Artikel 13 (2) berbunyi:

“Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.”

Dalam isu KT BYPASS ini, tanah mereka mahu diambil dengan bayaran yang tidak setimpal. Harga tanah yang sepatutnya bernilai sekitar RM230 sekaki (berdasar nilaian semasa) hanya mahu dibayar sebanyak sekitar RM48 sekaki. Setelah didesak, mereka hanya naikkan sebanyak RM4, menjadikannya RM52 sekaki.

Jumlah itu belum mengambil kira bangunan rumah kedai yang wujud atas tanah berkenaan seawal usia saya iaitu 42 tahun. Seorang peniaga kedai makan, Nik Sanusi berhadapan dengan masalah besar apabila kedainya bakal diroboh tanpa pampasan langsung. Ini kerana kerajaan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Cawangan Terengganu mendakwa kedai itu melanggar syarat kegunaan tanah yang tidak bersyarat bangunan. Justeru, JKPTG hanya memutuskan untuk membayar nilaian tanah sahaja. Itupun dengan nilaian yang rendah.

Bayangkan dengan pampasan yang tidak setimpal, mampukah sebahagian penduduk kampung yang terlibat dengan pengambilan balik tanah ini mencari tanah ganti dengan harga yang rendah? Itu belum kira kos pembinaan atau pembelian rumah gantian.

Kesan dari pembangunan di Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu, penduduk tempatan (Melayu Islam) semakin terhakis sedikit demi sedikit. Lihatlah rumah-rumah kedai, bangunan-bangunan baru di banyak tempat di Kuala Terengganu, baik di Chabang Tiga, di Pusat Bandaraya, siapakah yang memiliki lot-lot bangunan? Melayu Islam kah? Satu demi satu kampung warisan Melayu lenyap atau sekurang-kurangnya terhakis atas nama pembangunan. Kampung Ladang, Kampung Banggol Donas, Kampung Pak Pa, Kampung Bukit Bayas, Kampung Tok Kaya, Kampung Wakaf Beruas dan banyak lagi.

Saya tidak dapat bayangkan apa jenis pemimpin Melayu Islam yang memerintah Terengganu hari ini sehingga tidak dapat bertimbang rasa terhadap masalah yang rakyat hadapi. Barangkali Menteri Besar yang ada hanya memikirkan rakyat di Dun Seberang Takir sahaja. Oleh kerana projek ini hanya melibatkan Dun-Dun pembangkang, maka pedulikan mereka? Padahal ini bukan kali pertama isu ini dibangkitkan.

Seperkara lagi, saya difahamkan projek ini dianugerahkan kepada satu syarikat yang dimiliki oleh India Johor. Bukan syarikat orang Terengganu. Macamlah orang Terengganu tiada yang pandai jadi pemaju dan kontraktor. Tiada maruahkah orang Terengganu? Sudahlah tanah diambil balik, wang pun mengalir keluar dari negeri ini.

Barangkali sudah tiba masanya rakyat digerakkan secara agresif sebagaimana isu Banggol Donas dan isu Royalti suatu ketika dahulu.

AMAR MAARUF NAHI MUNKAR

Wan Mohd Faizul Wan Abas
Timbalan Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
17 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 17/10/2017

- Advertisement -