DACS ucap tahniah kepada Hafizh Syahrin

- Advertisement -

DACS Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin yang sekali lagi telah mengharumkan nama Malaysia dengan keputusan podium iaitu memenangi tempat ketiga dalam perlumbaan motosikal kategori Moto2, Grand Prix Jepun di litar Twin Ring, Motegi pada Ahad lepas.

- Advertisement -

“Kejayaan ini merupakan kemenangan podium kedua Hafizh selepas memenangi tempat yang sama di Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano, Itali bulan lepas,” ujar Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Fadzli Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Hafizh, pelumba Petronas Raceline telah mempamerkan tunggangan cemerlang dengan catatan masa 32 minit 12.035 saat dalam perlumbaan 15 pusingan di litar yang basah.

Tempat pertama dimenangi oleh pelumba daripada Marc VDS, Alex Marquez dengan catatan masa 32:08.901 saat.

Dengan kemenangan itu, Hafizh berjaya mengumpul 16 mata dan berada di tempat ke-10 keseluruhan dalam kategori Moto2, dengan 82 mata selepas 15 perlumbaan musim ini.

Manakala seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia berada di tempat ke-23 dengan catatan masa 32:59.432 saat.

“DACS Malaysia berharap dengan kejayaan ini akan memberi semangat kepada seluruh pelumba motosikal negara agar mencipta kejayaan yang sama suatu hari nanti, insya Allah,” ujar Muhammad Fadzli lagi. – HARAKAHDAILY 17/10/2017

- Advertisement -