Khutbah pertahan RUU164?

khutbah
- Advertisement -

KHUTBAH rasmi Jumaat 29 September 2017 Wilayah Persekutuan yang Jawi sediakan telah membela dan mempertahankan Rang Undang-Undang 164 (pindaan) bagi kebuntuan pemansuhan perkahwinan pasangan berkahwin semasa sama-sama tidak Islam yang didaftarkan di mahkamah sivil.
     
Setelah salah seorang mereka memeluk Islam, mereka buntu menyelesaikan perceraian kerana tiada peruntukan pasangan yang didaftarkan di mahkamah sivil boleh dibuat melalui undng-undang keluarga Islam.
      
Semua kes ini tergantung. Mahkamah sivil tidak dapat menyelesaikannya kerana ia orang Islam dan mahkamah Islam tak dapat menyelesaikannya kerana tiada peruntukan mengenai yang bukan Islam dalam pasangan itu.
      
Islam telah menentukan anak pasangan yang salah seorang Islam mestilah Islam dan harta seorang Islam tidak boleh dipesakakan kepada bukan Islam. Harta orang Islam yang mati ada hak bagi warisnya. Jika dibahagikan kepada yang tidak berhak nescaya yang berhak tidak dapat haknya sepenuhnya.
      
Macam mana hendak menyelesaikannya? Dan apa agama anak mereka apabila ia tiada peruntukan dalam mahkamah Islam menanganinya?
      
Maka bagi menyelesaikan dibuatlah pindaan ke atas Akta 164 dengan menambah peruntukan bagi memungkinkan perkahwinan mereka dimansuhkan. Tetapi penyelesaian itu adalah mengikut keadilan bagi msyarakat majmuk yang tidak semestinya adil mengikut hukum Islam.   
     
Daripada semangat pindaan itu, pasangan yang Islam tak dapat semua dan tidak pula hilang semua. Pasangan yang tidak Islam tadi juga tidak dapat semua dan tidak pula hilang semua.    
      
Dalam Islam ada kaedah fikahnya, kalau tak dapat semua, jangan hilang semua.
      
Tapi bolehkah Islam menerima anak yang sepatutnya Islam dibenarkan tak tentu akidahnya sehinggalah mereka menetukan  sendiri setelah berusia 18 tahun?
      
Kerana kanak-kanak itu tak tentu agamanya, bagaimana hendak memberi asuhan dan didikan Islam sebelum mereka berusia 18 tahun. Jika mereka tidak mendapat didikan agama, bagaimana hendak mengaji al-Quran sebelum usia 18 tahun? Bukanlah mudah baginya mempelajari al-Quran secara berkesan selepas berusia 18 tahun dan apa jaminan mereka memilih Islam setelah cukup usia?
      
Kanak-kanak itu ada usia mumaiyiznya, sebelum 18 tahun. Bagaimana kalau dia mati sesudah mumaiyiz tetapi belum 18 tahun? Mati tidak beragama. Adapun syurga itu adalah tempat kembali orang beragama tauhid. Jika beragama Islam pun belum tentu syurganya, yang tidak beragama tentulah bukan di situ tempatnya.
      
Bahagialah jika dia memilih Islam sesudah berusia 18 tahun.Tetapi Islamnya bukan justeru didikan bapa atau ibunya Islam. Dia jadi Islam seperti Nabi Ibrahim. Ditentukan Allah Islam bukan atas didikan ibu dan bapanya.
     
Perceraian mereka dapat diselesaikan tetapi bagi Islam dalam pasangan itu tidak dapat tentu akidah anaknya. Itulah dilema umat Islam yang negaranya ada perlembagaan menjadikan Islam agama persekutuan tetapi tidak semua masalah umat dilindungi oleh agamanya.
     
Tiada yang memikirkan jika ada kekurangan dalam undang-undang keluarga Islam, ia yang perlu   disempurnakan, bukan menyerahkan masalah umat kepada keadilan kemajmukan Malaysia.
     
Khutbah itu penuh dengan nasnya, dikira RUU 164 adalah setepat tindakan pemimpin dan Parlimen ambil walaupun Mufti Perak  membantah pembentangannya, sedang beliau adalah mufti paling kanan.
    
Tidak pasti ada khutbah RUU 355 yang disepakati oleh semua ulama tetapi RUU yang tidak disepakati ulama dikhutbahkan. Tidak pasti makmum diyakinkan dengan kepadatan hujah.
     
Yang menarik, hujung khutbah itu menyeru supaya sekaliannya menyokong  tindakan yang diambil oleh pemimpin tertinggi seolah-olah ia jerayawara TN50. – HARAKAHDAILY 5/10/2017

- Advertisement -
- Advertisement -