Dadah tenatkan sosial dan juvana

- Advertisement -
KANGAR: Pengaruh dadah dipercayai antara punca tindakan sekumpulan remaja yang menghadapi siasatan polis berhubung kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiah, Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Mengambil iktibar daripadanya, semua pihak perlu memberi perhatian serius terhadap aktiviti kalangan kanak-kanak dan remaja agar tidak terjebak ke kancah negatif yang ada.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kejadian yang berlaku menunjukkan keadaam sosial terutama dalam kalangan remaja sangat tenat dan menggusarkan.
 
Menurutnya, tidak dapat dinafikan bahawa dadah telah membawa kesan sangat merbahaya, tetapi sumber dan bekalan dadah boleh diperolehi oleh kalangan remaja belasan tahun.
 
“Menunjukkan ia senang diperolehi terutama jenis syabu di mana kesannya pengambil sukar tidur dan punya tingkah laku aktif terutama waktu malam.
 
“Rekod jenayah juga menunjukkan pelakunya ramai terdiri daripada penagih dadah jenis syabu,” ujar beliau yang berpengalaman lama dalam dunia pendidikan sebagai guru.
 
Syabu atau nama saintifiknya Methamphetamine Hydrochloride merupakan sejenis dadah tiruan yang boleh merosakkan otak penagih dan turut dikenali dengan nama ‘ice‘ atau ‘rack meth‘.
 
Menurut Shukri lagi, ianya juga petunjuk kepada kelemahan sistem pendidikan negara yang perlu disedari oleh masyarakat di mana ‘hak’ guru harus dikembalikan dalam soal pendidikan.
 
Beliau memberikan contoh tindakan rotan oleh guru dalam menangani situasi tertentu berkaitan disiplin pelajar yang sebelum ini menjadi polemik di alam persekolahan dewasa ini.
 
“Biarlah mak ayah melihat tapak tangan anak berbirat kemerahan dari menangis melihat tangan anak bergari masuk lokap. Masyarakat sedih melihat tragedi kebakaran yang berlaku.
 
“Tetapi masyarakat lebih harus sedih mereka yang merancang dan melakukannya adalah anak-anak kita yang masih muda remaja,” ujar yang juga Adun Sanglang. – HARAKAHDAILY 19/9/2017
- Advertisement -