Kisah meruntun jiwa, Fatimah dan Salman

SalmanFat
- Advertisement -

KEPERLUAN paling mendesak waktu ini bagi pelarian yang baru tiba dalam minggu ini adalah makanan asas (beras, dal, minyak dan garam) kerana sebahagian mereka telah menempuh perjalanan dengan berjalan selama 10 hari untuk tiba di sempadan. Sebahagian besar daripada 300,000 orang yang baru tiba, menumpang di pinggir jalan, kem-kem baru di Thankhali dan Balokhali terlalu lapar.

- Advertisement -

Kisah Fatimah

Fatimah, seorang balu bersama anak tiga orang lari bersama keluarga dan jiran-jirannya dari Buthidaung, daerah paling jauh dari sempadan yang sedang dibakar oleh puak Rakhine dan tentera Myanmar. Suaminya telah syahid. Anak kecilnya Salman berusia dua tahun didukungnya, dua lagi diheret oleh jiran-jiran merentasi belantara gunung.

Buthidaung dipisahkan dengan sempadan Bangladeah oleh banjaran bukit bukau dan anak sungai. Tiada apa yang sempat dicapai oleh Fatimah dari rumahnya, kecuali tiga orang anak itu sahaja, sehelai sepinggang. Tempoh perjalanan yang terpaksa ditempuhi untuk tiba ke sempadan tidak diketahui, itulah kali pertama Fatimah meninggalkan rumahnya, itupun kerana terpaksa demi nyawa anak-anak.

Perjalanan menjadi perlahan kerana dihutan belantara itu juga mereka diburu pelampau Rakhine dan tentera. Selain peluru dari belakang, laluan mereka di tanam periuk api. Setiap 1 kilometer, mereka akan berhenti. Salah seorang daripada kumpulan mereka seramai sekitar 100 orang dewasa dan kanak-kanak itu akan ditugaskan meninjau laluan satu kilometer di depan, jika selamat, mereka teruskan, jika ada musuh menanti, mereka menunggu hingga musuh beredar.

Makanan Fatimah dan anak-anak sepanjang jalan hanya pemberian jiran dan saudara mara yang sempat mencapai beras dan periuk, dia menumpang sesuap dua nasi sehari untuk dia dan anak-anak.

Hari ketujuh, semua bekalan makanan habis. Pucuk kayu dan air bukit saja yang ada untuk mengalas perut kanak-kanak dan orang dewasa. Anak-anak yang menangis kelaparan dipujuk supaya tidur menanti esok.

Hari ke sepuluh, waktu hampir senja mereka tiba di anak sungai terakhir yang memisahkan mereka dengan Bangladesh, tanah penyambung nyawa.

Salman yang menangis kelaparan sejak dua hari lalu, dipujuk supaya tidur dalam pelukan Fatimah sejak awal pagi, ketika mereka memulakan perjalanan hari ke-10 itu. Dua lagi anaknya dikendong jiran dan saudara mara yang masih punya kudrat bergilir-gilir. Dengan sisa tenaga terakhir, lemah longlai, mereka melangkah menuju sempadan. Dunia baru yang selamat dan tenteram.

“Fatimah, anakmu sudah tiada, matanya terpejam sejak pagi tadi,” kata jiran di belakangnya.

“Tidak! Salman hanya takut dan lapar, aku memujuknya supaya tidur, nanti aku akan memanggilnya bangun, membuka mata jika kita telah selamat dan ada makanan untuk dia makan,” kata Fatimah.

“Fatimah! Betul katanya, Salmanmu ini telah tiada,” Kata jirannya yang lain yang menjamah Salman di pelukan Fatimah.

“Tidak! Salman sedang tidur. Nanti aku akan kejutkan dia di seberang sana,” Kata Fatimah sambil meranduk anak sungai berair masin separas pinggang. Batas ban selebar dua meter di depan itu adalah dunia baru mereka. Tempat untuk mereka mendapat status baru – pelarian!

Sebaik tiba di seberang, masing-masing melepaskan lelah di tanah, terduduk, terbaring, terlentang, terjelepok kehabisan upaya.

Mereka disambut sukarelawan Rohingya dan warga Bangladesh yang datang dari serata tempat, membantu saudara mara yang baru tiba. Biskut, roti dan minuman diagihkan kepada setiap orang yang selamat sampai. Sebotol air minuman umpama sebotol emas buat mereka.

“Salman! Bangun Salman, buka matamu, kita telah sampai di tempat yang selamat. Ibu sudah ada makanan untukmu,” Fatimah mengejutnya anak bongsunya.

Salman tetap terpejam, terdiam terkulai layu. Sambil mengusap kepala Salman di ribaannya, Fatimah terus memanggil manggil nama buah hatinya itu berulang kali. Dia tidak akan makan sebelum anaknya dapat merasai makanan.

“Bangun Salman! Sudah boleh buka matamu, di sini kita sudah selamat dan ada makanan untuk kita. Bangunlah nak! Bangunlah Salman! Mak ada biskut dan roti untuk kita”.

Fatimah tidak sedar dia dikerumuni jiran dan saudara-mara seperjalanannya, termasuk Saudara Ibrahim dari WAMY yang sedang mengagihkan makanan. Semuanya terpaku memandang Fatimah, air mata mereka yang telah kering pun menitis jua, menjurai memandang Fatimah.

Salman benar-benar tidur kelaparan, tidur untuk selama-lamanya. Fatimah meraung merangkul anaknya, dua lagi anak Fatimah menerpa memeluk ibu dan adik mereka. Biskut dan air botol terlepas dari genggaman, Ibrahim terduduk menangis sayu. Fikirannya kosong.

Nota: Kisah ini diceritakan oleh Saudara Ibrahim di Pejabat CHA malam tadi dalam keadaan tersekat-sekat menahan sebak. Peristiwa ini saya saksikan dengan mata saya sendiri, mereka itu samua dari kampung asal saya Buthidaung, katanya.

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada PASRelief yang datang membantu kami. Kisahkan cerita ini kepada saudara kita di Malaysia, beginilah keadaan pelarian Muslim Rohingya pada waktu ini.

Saya tidak dapat bertanya apa-apa, terlupa untuk mengesahkan nama anak Fatimah yang telah tidur lena itu, kerana kerongkong saya juga dihimpit air liur dan nafas yang tersekat.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASRelief
Tabung Kemanusiaan Antarabangsa
5640 7061 1352 (Maybank) – HARAKAHDAILY 13/9/2017

Saya tidak pasti apakah gambar di bawah ini adalah anak FATIMAH… SALMAN!

SalmanFat

- Advertisement -