Royalti T’ganu: Antara ‘dosa’ Tun M kepada PAS

- Advertisement -

TERCATAT dalam lipatan sejarah betapa pada 26 Jun 2000, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, telah mengumumkan betapa Kerajaan Terengganu, yang pada waktu itu dikuasai oleh PAS setelah ia memenangi DUN Terengganu di dalam PRU 10 pada 29 November 1999, tidak berhak untuk mendapat bayaran royalti petroleum yang telah diterimanya selama ini.

- Advertisement -

Pengumuman Tun Dr Mahathir ini diikuti oleh pengumuman Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 bahawa bayaran royalti petroleum ini tidak lagi akan diberikan kepada Kerajaan Terengganu tetapi akan disalurkan terus kepada rakyat Terengganu melalui Program Pembiayaan Wang Ehsan.

Ketika itu, Tun Dr Mahathir galak bercakap mengenai “hak” dan “undang-undang” yang kononnya tidak dipunyai oleh Kerajaan Terengganu ke atas bayaran royalti petroleum ini.

Bagaimanapun, segala cakap-cakap mengenai “hak” dan “undang-undang” ini ternyata hanyalah satu penipuan di siang hari sahaja kerana, setelah bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir sendiri secara terbuka mengakui bahawa penamatan bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Terengganu ini adalah berpunca daripada perkiraan politik sempit semata-mata.

Tertulis kemas di dalam memoir Tun Dr Mahathir bertajuk “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad” yang diterbitkan pada tahun 2011 pengakuan beliau mengenai perkara ini berbunyi:

“Terengganu was and is the biggest producer of oil in Malaysia and five per cent of that revenue, worth almost RM1 billion a year, went to the state government. We knew that if the new PAS state government were to gain access to the money, they would likely use it to enhance their popularity and promote their cause. A way had to be found to deny them access to these funds.”

(Terjemahan: “Terengganu adalah pengeluar minyak terbesar di Malaysia dan lima peratus daripada hasil itu, bernilai hampir RM1 bilion setahun, pergi kepada kerajaan negeri. Kita tahu bahawa jika kerajaan negeri baru PAS dapat wang ini, mereka akan gunanya untuk meningkatkan populariti mereka dan mempromosi perjuangan mereka. Satu cara mesti dicari untuk menyekat mereka dari mendapat akses kepada dana ini.”)

Orang-orang PAS pasti ingat sampai bila-bila kezaliman Tun Dr Mahathir terhadap mereka ini: “Satu cara mesti dicari untuk menyekat mereka dari mendapat akses kepada dana ini.” – HARAKAHDAILY 27/7/2017

- Advertisement -