20,000 pelajar solat hajat tuntut royalti

- Advertisement -

USAHA kerajaan negeri dan rakyat Kelantan menuntut royalti petroleum tetap diteruskan biarpun belum menjadi kenyataan sehingga sekarang.

- Advertisement -

Pada peringkat awal pemimpin kerajaan pusat dan Umno bermati-matian menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum.

Sedangkan pada perjanjian 1975 Kelantan layak mendapat royalti petroleum daripada carigali minyak dan gas di perairan negeri tersebut.

Selepas gerakan rakyat mendesak dibayar royalti, akhirnya wang ihsan disalur kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

royalti solat hajatHari ini kira-kira 20,000 pelajar termasuk 60 pengetua sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) menunaikan solat hajat dan munajat menuntut royalti.

Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Bantuan Kerajaan, Zulkifli Mat Yusof berkata, solat hajat dan munajat itu merupakan sebahagian usaha menuntut royalti.

Katanya, program itu dijadikan acara tahunan iaitu tahun lepas juga diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqadum Maarif Pasir Tumboh.

“Seramai 20,000 pelajar seluruh Kelantan dan pengetua sekolah masing-masing menunaikan solat hajat dan munajat agar tuntutan royalti menjadi kenyataan.

“Royalti hak rakyat Kelantan sebagaimana termaktub dalam perjanjian. Ia tidak boleh diagih secara wang ihsan,” katanya ketika ditemui pada progam berkenaan di Kota Bharu.

Program solat hajat terbabit dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Anggota Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kerajaan Barisan Nasional terus berdolak dalik untuk tidak menunaikan royalti petroleum.

Beliau berkata, isu tuntutan royalti tidak boleh dibahas di parlimen atas alasan kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.

“Hal ini dilakukan bagi mengelak kerajaan Persekutuan membayar royalti yang tertangguh begitu lama kepada kerajaan Kelantan.

“Saya sudah banyak membawa isu ini ke Parlimen tetapi ditolak dengan alasan masih dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2017

- Advertisement -