Semangat kejiranan perlu dipupuk

- Advertisement -

KEMAKMURAN sesebuah negara amat bergantung kepada keutuhan dan kemantapan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, jantina, bangsa, agama dan budaya. Hubungan erat antara jiran dapat melahirkan ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Seperti yang diketahui umum, jiran didefinisikan sebagai orang yang tinggal  berhampiran dengan rumah kita.

- Advertisement -

Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini lahir daripada kesedaran dan inisiatif kita untuk mewujudkannya. Ia perlu diterapkan dalam diri dan masyarakat. Islam telah menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dalam kalangan masyarakat sekeliling. Dalam konteks kejiranan, umat Islam perlu sentiasa menghormati dan menjaga keselamatan diri dan harta benda.
    
Dengan adanya semangat kejiranan ini, sesuatu masalah dapat diatasi dengan segera. Sebagai contoh, gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, balai raya, membuat jambatan dan sebagainya dapat dilakukan bersama. Secara tidak langsung ini dapat mengeratkan silaturrahim antara penduduk kawasan perumahan.
    
Antara cara memupuk semangat kejiranan adalah dengan saling kunjung-mengunjungi sesama jiran. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa musim perayaan, kenduri dan lain-lain lagi. Sikap keprihatinan juga penting dalam melahirkan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang sesama jiran.
    
Memang tidak dapat dinafikan lagi, pelaksanaan Rukun Tetangga juga dapat melahirkan individu yang bertanggungjawab seterusnya mampu membentuk masyarakat yang berjiwa murni.
    
Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur seterusnya menjejaskan perpaduan negara. Ada juga pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.
    
Tuntasnya, hidup berjiran amat penting dalam kehidupan. Hal ini kerana ia mendatangkan banyak manfaat dan menyatupadukan seluruh masyarakat. Jelaslah bahawa betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam membentuk kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Oleh itu, masyarakat haruslah berganding bahu, bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan kehidupan berjiran sebahagian daripada amalan dan budaya masyarakat di Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

- Advertisement -