Ramadan: Aku tunggu Kau datang

- Advertisement -

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

- Advertisement -

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. Dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain” (Al-Baqarah : 185).

Beberapa hari lagi bulan yang paling ditunggu oleh seluruh umat Islam bakal menjenguk kita. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan, selamat datang wahai bulan Ramadan. Bersediakah kita dalam menghadapi Ramadan? Sempatkah kita bertemu bulan Ramadan tahun ini? Atau sempatkah kita menghabiskan bulan Ramadan 1438 hijrah ini? Semoga kita bersedia dan dapat berjumpa serta menghabiskan Ramadan tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

Pernahkah terlintas di fikiran kita persoalan-persoalan seperti; kenapa umat islam diwajibkan berpuasa? Atau, mengapa kita perlu berpuasa? Dan sebagainya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah: 183]

Demikian perintah Allah kepada kita agar melaksanakan ibadah berpuasa yang terangkum dalam Rukun Islam. Dengan melaksanakan Rukun Islam ini, kita dijanjikan Allah dengan pengampunan dosa yang lalu. Hal itu jelas dalam sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih).

Kajian sains perubatan mendapati berpuasa memainkan dua fungsi sekali gus iaitu sebagai kaedah perawatan ke atas penyakit dan sebagai langkah pencegahan. Pakar-pakar perubatan bukan Islam mengakui puasa adalah satu kaedah perubatan yang mujarab kepada sistem tubuh manusia. Antaranya Dr Mac Fadon dari Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, puasa seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut. Boleh dikatakan semua ahli perubatan di dunia ini menyatakan berpuasa menyihatkan tubuh badan manusia, malah kesihatan mental dan kekuatan rohani akan turut berganda dengan berpuasa.

Maka, pada saat Ramadan sudah menjengah, latihlah diri dan pimpinlah hati kita dengan jalur kehidupan yang dituntut oleh agama. Jika kita berpuasa dengan kaedah sebagaimana diperintahkan Allah, puasa itu adalah ibarat perisai daripada godaan syaitan, malah ibadah kita akan menjadi gerbang menuju ketakwaan.

Oleh itu, jadikanlah Ramadan akan datang ini sebagai bulan memantapkan iman untuk meraih kecemerlangan dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Selamat datang wahai bulan umat Nabi Muhammad SAW. – HARAKAHDAILY 23/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

- Advertisement -