Khasiat air nabeez

- Advertisement -

BEBERAPA hari lagi umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti oleh seluruh umat Islam kerana pada bulan ini segala amalan kebaikan akan diberi ganjaran berlipat ganda oleh ALLAH SWT.

- Advertisement -

Ramadan adalah bulan seluruh umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

Bagi memastikan tubuh badan kekal bertenaga ketika berpuasa, amalan pemakanan yang sihat adalah amat penting dan perlu dititikberatkan terutamanya ketika bersahur dan berbuka.

Amalan meminum air nabeez iaitu air rendaman kurma atau kismis dalam air masak semalaman dalam bekas yang tertutup dan kemudiannya diminum keesokkan harinya. Selain tersimpan banyak khasiat, air nabeez adalah minuman sunnah dan merupakan minuman kegemaran Rasullullah SAW.

Baginda merendam beberapa biji kurma kedalam air selama semalaman dalam bekas yang tertutup dan meminumnya pada waktu pagi.

Riwayat daripada Imam Muslim, Aisyah berkata;

“Kami biasa membuat perahan untuk Rasullulah SAW di dalam air minum yang bertali di atasnya, kami membuat rendaman di pagi hari dan meminumnya di petang hari, atau membuat rendaman di petang hari dan meminumnya di pagi hari.” (H.R Muslim)

Selain kurma, air nabeez juga boleh berasaskan makanan sunnah lain seperti kismis. Selain itu, sebagai menambah rasa boleh dicampurkan bersama madu atau susu. Kesemua makanan tersebut adalah makanan sunnah Rasullulah dan terkandung banyak khasiat.

Khasiat air nabeez ialah merupakan minuman beralkali yang mampu membuang asid dalam perut yang boleh mengelakkan gastrik dan kembung perut. Air nabeez juga mampu melancarkan sistem penghadaman dan boleh mengelakkan sembelit. Air ini juga boleh dijadikan sebagai bahan detox kerana berfungsi untuk menyingkirkan bahan toksin dalam badan sekaligus dapat mengelakkan penyakit merbahahaya dan obesiti.

Tambahan lagi, air nabeez sesuai untuk pesakit gout dan pesakit sendi (Arthritis) kerana membantu meneutralkan kandungan asid urik.

Kesimpulannya, air nabeez tersimpan banyak khasiat dan manfaat kepada tubuh badan manusia. Bagi mengekalkan tenaga ketika berpuasa, kita perlu memastikan pengambilan makanan dan minuman yang berkhasiat terutamanya pada waktu sahur dan berbuka. Badan yang sihat membolehkan kita menjalankan ibadah di bulan Ramadan dengan sempurna. – HARAKAHDAILY 20/5/2017

Penulis ialah pelajar Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

- Advertisement -