Perutusan Hari Guru 2017 dari PAS Sarawak

- Advertisement -

TUGAS guru semakin mencabar, dengan tugas mereka bukan hanya mengajar tetapi juga terpaksa menjalankan tugas “ibu bapa” daripada tanggungjawab hakiki sebagai seorang pendidik, tetapi ada kalanya mereka terpaksa menggunakan wang mereka sendiri untuk aktiviti pelajar di luar sekolah seperti menyertai pertandingan bagi mewakili sekolah dan sebagainya.

- Advertisement -

Hari ini guru-guru dan pendidik bertanggungjawab untuk membina generasi muda secara khusus dan rakyat secara amnya, ke arah pembentukan kesejahteraan masa depan yang cemerlang.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga merupakan seorang pendidik kepada para sahabat dan pengikutnya dengan mengajar tentang akidah serta menyeru mereka akan taat pada perintah Allah dan Rasul dan seterusnya diikuti oleh para sahabat dan para alim ulama serta pendakwah sepanjang zaman.

Mutakhir ini rakyat perlu diberi pendidikan dan pengetahuan cara menangani zaman perubahan dalam masyarakat bagi memastikan negara akan terus berada di bawah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan tanpa diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.

Tugas para guru dan pendidik perlu memberi kesedaran kepada orang ramai tentang betapa pentingnya kesedaran menyeluruh di dalam sesebuah masyarakat supaya mereka dapat mengubah nasib mereka sendiri sehingga mencapai kejayaan dari terus menyerah diri tanpa berusaha seperti firman Allah SWT yang bermaksud, terjemahan surah Ar-Ra’d ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka “.

Sempena Hari Guru pada tahun ini PAS ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua guru-guru yang menjadi pendidik dalam pelbagai lapangan khususnya guru-guru yang telah berjaya meneruskan kerjaya sebagai pendidikan yang begitu mencabar dari semasa ke semasa masakini.

Tugas guru amat mulia kerana dengan adanya mereka yang menjadi pendidik maka kita semua menjadi seseorang yang boleh membaca, mengira, menulis serta dapat menuntut ilmu dengan lebih luas lagi. Tanpa guru siapalah kita disebabkan mereka maka kita sekarang dapat menilai yang baik dan buruk sesuatu perkara.

Selamat Hari Guru kepada semua guru yang tabah dan sabar dengan telatah pelajar-pelajar mereka sehingga mereka berjaya dalam kehidupan mereka. Guru yang terus istiqamah pasti akan menuju kemenangan.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS, Sarawak – HARAKAHDAILY 16/5/2017