Jadikan kerjaya guru kerjaya idaman

- Advertisement -

SABAN 16 Mei, kita meraikan mereka yang mendedikasikan hidup mereka untuk membina bangsa yang menjadi asas kepada pembangunan guru.

- Advertisement -

Dalam pepatah Cina, saya difahamkan ada sepatah yang bermaksud: “Sehari berguru, ayah seumur hidup.” Ia bermaksud kedudukan guru amat dimuliakan sehingga diangkat setaraf kedudukan ibu dan bapa seumur hidup. Pepatah ini amat tepat bagi menggambarkan kemuliaan dan penghormatan kepada kerjaya perguruan.

Kerjaya guru merupakan satu kerjaya yang boleh mencorak masa depan negara. Ia mempunyai potensi untuk mencipta kelainan berbanding kerjaya yang lain.

Oleh itu, di dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan sistem pendidikan negara, kerajaan wajib menumpukan perhatian bagi menaikkan taraf kerjaya guru supaya ia menjadi kerjaya idaman bagi semua peringkat rakyat, termasuklah cendekiawan-cendekiawan.

Sebagai contoh, kerajaan boleh menawarkan peluang untuk para guru melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dengan biasiswa mengikat sebagai insentif kepada guru untuk mengembangkan ilmu dan mutu pengajaran mereka.

Pelaburan juga perlu dibuat untuk membawa teknologi digital untuk merevolusikan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas bagi menarik minat golongan-golongan muda untuk menyertai kerjaya perguruan.

Selain subjek asas, mata pelajaran seperti komputer sains, penulisan program, pembinaan aplikasi bagi telefon pintar dan robotik perlu diperkenalkan lebih awal sebagai subjek di sekolah. Subjek-subjek menarik ini juga akan menjadi satu tarikan kepada golongan cerdik pandai menjadi guru.

Selain itu, kerajaan juga harus mempunyai peruntukan khas untuk meningkatkan pencapaian sekolah-sekolah berprestasi rendah, terutamanya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

Antaranya, kerajaan boleh menawarkan insentif dan skim gaji berlainan agar dapat menarik guru-guru berkualiti tinggi untuk mengajar di kawasan-kawasan pedalaman.

Sistem pendidikan perlu dirombak agar semua para pendidik dapat mengajar secara lebih kreatif daripada mengajar untuk memastikan pelajar lulus peperiksaan semata-mata.

Satu suasana perlu diwujudkan agar ada perlumbaan ke arah kecemerlangan pendidikan di antara daerah dan negeri. Suasanan ini dapat menyakinkan semua guru dan pelajar bahawa pentingnya bagi mereka untuk meningkatkan prestasi untuk melonjakkan mutu sumber manusia negara.

Kerajaan perlu sedar beban kerja di luar bidang mendidik yang sedang dipikul oleh para guru hari ini telah menjejaskan kerjaya perguruan.

Kerajaan diminta untuk menyemak kembali bebanan di luar tugas asasi yang dibebankan kepada para guru. Pelbagai rungutan dan luahan bebanan yang terpaksa dipikul oleh para guru setiap kali diperkenalkan program baru dalam talian.

Hari ini, kerja perkeranian telah melebihi tugas asasi guru. Ini sangat merugikan pelajar dan juga sistem pendidikan negara.

Perhatian khusus juga perlu diberikan terhadap kebajikan guru yang terpisah dengan keluarga. Sebarang penempatan guru mesti mengambil kira kebajikan keluarga mereka. Jika ini dibuat dengan betul, ia pasti membantu meningkatkan komitmen guru terhadap kerjaya mereka.

Memandangkan sektor pendidikan adalah sektor terpenting bagi sesebuah negara, kita tidak boleh membiarkan sektor pendidikan mengalami kekangan bajet. Tindakan kerajaan BN untuk memotong bajet sektor pendidikan awam dan tinggi untuk dua tahun berturut-turut adalah satu keputusan yang teramat salah dan besar impaknya kepada negara.

Oleh itu, PAS mendesak agar peruntukan perbelanjaan kepada universiti dan sekolah perlu dipulihkan dengan kadar segera. Apa gunanya setiap rakyat dihukum dengan GST, tapi duit itu tidak digunakan untuk melabur di dalam masa depan negara tapi sebaliknya untuk menutup lubang-lubang hakisan hasil keborosan dan ketirisan BN?

Selamat Hari Guru. Wahai para guru yang dihormati yang turut membayar GST, jangan lupa ada kuasa di tangan anda.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
16 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 16/5/2017

- Advertisement -