Miskin: Rakyat boleh digula-gula

- Advertisement -

PAS melihat keadaan kemiskinan yang berterusan di Seberang Takir seolah-olah ada suatu ‘usaha’ di peringkat kerajaan Umno Terengganu supaya rakyat terus berada dalam keadaan miskin.

- Advertisement -

Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, walaupun negara kita semakin maju namun berdasarkan kepada kajian bertajuk, ‘Miskin Bergenerasi dan Mobiliti Kemiskinan di Seberang Takir’ yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tahun lalu, hampir 30 peratus penduduk di Dun Menteri Besar Terengganu itu berada di bawah paras kemiskinan.

“Kesan daripada kemelaratan kehidupan menyebabkan rakyat terus bergantung pada mereka (kerajaan).

“Keadaan ini menyebabkan rakyat boleh digula-gulakan dan boleh diperintah untuk melakukan sesuatu benda yang mana akhirnya rakyat terpaksa ikut telunjuk mereka,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Klinik Kesihatan Seberang Takir dalam lawatan sempena Hari Jururawat yang disambut 12 Mei setiap tahun.

Menurutnya, kemiskinan dan kejahilan itu sendiri merupakan perkara yang membolehkan kerajaan untuk menguasai rakyat atau rakyat sentiasa bergantung kepada kerajaan.

Katanya, 30% orang miskin di Dun Seberang Takir merupakan satu angka yang agak besar yang memberikan gambaran bahawa sepanjang tempoh kerajaan Umno memerintah khususnya di Seberang Takir, tempat Menteri Besar sendiri menunjukkan Umno gagal menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Dan insya Allah di peringkat PAS Seberang Takir sendiri, kita sentiasa mengambil cakna kepada rakyat di sini.

“Walaupun dalam kemampuan yang sangat terbatas tanpa ada peruntukan daripada mana-mana, sekadar kita dapat sumbangan daripada pihak-pihak yang simpati untuk kita agihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Walaupun tidak dapat membantu sepenuhnya sekurang-kurangnya dapat sebahagian meringankan beban yang ada di kalangan orang miskin,” ujarnya.

- Advertisement -