Ayuh! Berjimatlah dalam berbelanja

- Advertisement -

DEWASA ini masalah kenaikan barangan harian telah menghimpit rakyat Malaysia. Pelbagai rungutan dilontarkan berkaitan hal ini terutama wang tidak mencukupi bagi menampung keperluan seharian, harga barangan yang mahal dan sebagainya. Oleh itu kita perlu mengambil langkah yang sesuai bagi menyelesaiakan maslah ini, antaranya mengamalkan sikap berjimat-cermat.

- Advertisement -

Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat berjimat-cermat ditakrifkan sebagai berhemat-hemat atau berhati-hati (terutama dalam penggunaan wang). Islam turut mengalakkan penganutnya mengamalkan amalan berjimat-cermat dalam kehidupan seharian. Namun begitu amalan ini masih belum ada pada rakyat Malaysia, sehubungan dengan itu amalan ini seharusnya dijadikan satu sifat murni kita.

Amalan ini sebenarnya memerlukan kepada latihan supaya ia menjadi tabiat. Salah satu langkah yang boleh diambil ialah berbelanja mengikut keperluan sahaja. Sebagai contoh jika kita sudah mempunyai sebiji telefon pintar masih boleh digunakan tidak perlu kita mencari sebiji lagi telefon kerana beralasan telefon tersebut keluaran yang lama serta kita ini tidak mengikut perkembangan terkini.

Masalah sebeginilah yang akan menyebabkan perbelanjaan kita bertambah. Memang benar kita hidup di zaman teknologi berkembang dengan pesat namun tidak menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mengikut trend terkini yang akhirnya akan memerangkap kita dalam pembaziran.

Satu penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015 menyatakan kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan  yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Daripada statistik ini boleh kita bayangkan berapa banyak pembaziran yang telah dilakukan oleh rakyat Malaysia serta berapa banyak wang yang telah digunakan dengan sia-sia. Kita sedar bahawa harga keperluan harian meningkat naik namun kita masih lagi melakukan perbuatan pembaziran dengan membeli makanan terlalu banyak dan dibuang begitu sahaja. Perlu untuk kita memastikan makanan yang kita beli cukup, sedap dan tidak akan membawa kepada perbuatan membazir.
 
Salah satu langkah yang boleh dilakukan bagi berjimat-cermat dalam perbelanjaan ialah sebelum membeli barang senaraikan terlebih dahulu barangan yang hendak dibeli. Golongan Ibu terutamanya perlu melakukan langkah ini, kerana ia akan menjadi panduan kepada kita untuk berbelanja. Janganlah pula semasa di rumah kita telah menentukan apa yang hendak dibeli namun kita sampai di pasar raya kita lupa pada senarai yang telah dibuat dan berbelanja mengikut kemahuan.

Bagi golongan muda perlu bagi mereka memupuk sifat menabung. Hal ini dianggap remeh namun menabung membawa banyak kebaikan. Menabung juga akan dapat membantu kita mengehadkan perbelanjaan harian kerana kita sedar bahawa sedikit daripada wang harian akan disimpan.

Tidak perlu kita menyimpan seratus ringgit tiap hari cukup hanya sekadar satu atau dua ringgit sehari. Dalam tempoh setahun kita akan dapat menyimpan hampir empat ratus ringgit. Tabung ini nanti boleh digunakan jika ada kecemasan.

Bagi menghadapi zaman yang penuh mencabar ini kita seharusnya bijak untuk mengambil pelung yang ada. Sebagai contoh kita boleh memanfaatkan tanah kosong di sekitar rumah untuk bercucuk tanam. Hasil tanaman ini akan menyebabkan kita tidak perlu terlalu bergantung harap untuk mendapatkan sayur-sayuran di kedai seterusnya dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

- Advertisement -