Selamat Hari Doktor Sedunia

- Advertisement -

TANGGAL 30 Mac merupakan Hari Doktor Sedunia! Satu profesion yang penting dan sangat berisiko jawatannya. Setiap doktor diwajibkan memperoleh Sijil Amalan Perubatan sah dan mematuhi syarat itu untuk menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Malaysia berdasarkan Akta Perubatan 1971.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, negara memiliki 46,461 doktor dengan 35,545 daripadanya berkhidmat di sektor awam dan 12,446 doktor berkhidmat di sektor swasta. (Berita Harian Online, 21 Mac 2017)

Manakala bagi hospital kerajaan kini mempunyai 4,474 pegawai perubatan pakar sehingga 30 September 2016 (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah). Angka tersebut mewakili 91.9 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan berkenaan sebanyak 4,870.

Perkhidmatan yang tanpa mengenal warna kulit, bangsa, agama sentiasa diutamakan oleh seluruh doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan mahupun hospital swasta. Pengorbanan masa, tenaga dan kadang kala ketika waktu rehat atau bercuti juga dikorbankan untuk membantu para pesakit yang memerlukan khidmat kepakaran mereka.

Memetik firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (az-Zumar: 10)

Justeru, seluruh rakyat Malaysia amnya perlu mengucapkan rasa terima kasih dan menghargai segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada kita semua sejak kecil hingga dewasa ini.

“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya.” (HR Bukhari)

Harapan buat seluruh para doktor, teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan kekalkan profesion cemerlang dalam perkhidmatan yang diberikan. Semoga Allah sentiasa mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan, ketenangan dan ketabahan buat penjawat yang bergelar doktor! Terima kasih infiniti buat doktor untuk segala jasa yang telah dicurahkan!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
3 Rejab 1438 / 31 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 31/3/2017

- Advertisement -