Silingkan harga tol sebelum bermain harga siling minyak

- Advertisement -

ISU harga minyak bakal menjadi salah satu isu utama pada pilihan raya nanti jika harganya melampaui batas yang boleh ditampung rakyat marhaen.

- Advertisement -

Cadangan kerajaan untuk mewujudkan harga siling untuk harga bahan api dan melepaskan tangan kepada para pengusaha stesen minyak untuk menentukan harga jualannya menimbulkan beberapa kemusykilan.

Pertama, apa bezanya harga jualan yang ditentukan kerajaan hari ini dengan harga siling yang bakal diumum nanti?

Harga jualan hari ini sebenarnya adalah harga siling di mana syaratnya tiada siapa yang boleh menjual melepasi harga tersebut. Ia boleh disebut juga sebagai harga minimum yang boleh dijual kerana tiada stesen minyak di Malaysia yang pernah menjual di bawah paras itu setakat ini.

Permainan harga siling bermaksud meletakkan had maksimum pada harga jualan. Biasanya harga siling adalah lebih tinggi daripada harga pasaran sepatutnya untuk memberikan ruang untuk mewujudkan persaingan antara stesen minyak.

Jika kerajaan ingin melaksanakan harga siling ini, ini bermaksud kerajaan akan terpaksa menetapkan harga jualan minyak maksimum yang jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran, yakninya lebih tinggi daripada harga sekarang.

Jika harga siling tidak lebih tinggi harga pasaran, maka tiada siapa yang akan bersaing kerana menganggap  harga siling yang ditetapkan kerajaan itu ialah harga minimum yang perlu dijual untuk mengekalkan keuntungan.

Pendek kata, sistem harga siling itu hanya akan membebankan rakyat kerana harga itu diyakini jauh melebihi harga pasaran dan menguntungkan lagi para pengusaha stesen minyak yang akan cenderung menganggapnya sebagai harga minimum.

Sebelum kerajaan bertegas juga untuk melaksanakan harga siling minyak, kerajaan perlu menimbangkan cara-cara lain untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Duit yang dijimatkan daripada penarikan subsidi minyak boleh digunakan untuk mengurangkan harga tol atau menyilingkan harga tol agar ia kekal sehingga tamatnya kontrak lebuh raya.

Contohnya, sepatutnya kerajaan sudah dapat menamatkan tol Bentong dan Gombak yang  telah lama beroperasi sejak 1970-an yang menjadi punca utama kesesakan di musim perayaan.

Kerajaan juga boleh menetapkan harga perkhidmatan yang melibatkan kos pengangkutan bagi mengimbangi inflasi yang terhasil daripada harga minyak yang lebih tinggi.

Jangan biar rakyat tertanya-tanya ke mana semua duit subsidi yang dijimatkan?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 5/3/2017

- Advertisement -