Kenaikan harga gula: Fikirkan kepentingan rakyat

- Advertisement -

PAS kesal dengan ‘lampu hijau’ yang diberikan KPDNKK supaya menaikkan harga gula 11 sen daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram berkuatkuasa 1 Mac yang lalu. Perkara tersebut jelas memperlihatkan kerajaan tidak mempertimbangkan sesuatu polisi dengan melihat kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka.

- Advertisement -

Peningkatan harga gula mentah dunia ditambah lagi penyusutan nilai matawang ringgit sememangnya memberi impak kepada kos mengimport gula. Justeru, kesan rantaian ini turut memberi implikasi terhadap kos pengeluaran gula di pasaran domestik. Purata mengimport gula adalah RM4.40 berbanding RM4.10 pada tahun sebelumnya.

Amat dikesali apabila kerajaan lebih mengutamakan keuntungan pihak tertentu berbanding melihat kepada pengucupan kuasa beli di kalangan pengguna ketika ini. Malah, ‘real income’ rakyat juga semakin berkurang. Kuasa beli yang melemah juga sudah pasti akan memberi kesan tidak langsung kepada sektor peruncitan. Tidakkah kerajaan sedar kesan inflasi yang telah berkembang kepada 3.2 peratus pada Januari yang lalu hasil daripada polisi-polisi tempang pihak kerajaan?

Justeru, kerajaan sepatutnya memikirkan suatu langkah bagi menyerap kenaikan itu daripada bersikap bermudah-mudah melepaskan bebanan kepada rakyat. PAS sangat kesal dengan pendirian kerajaan dalam beberapa polisinya yang mengenepikan faktor orang ramai. Mereka hanya berfikir apabila sesuatu syarikat mengekalkan margin keuntungan yang tinggi, maka cukai yang diperoleh kerajaan juga tinggi. Akhirnya, peningkatan kos itu dilepaskan untuk ditanggung oleh rakyat.

Pada satu sisi yang lain pula, sifat ‘self-interest’ (penting diri) dan ‘profit maximization’ (keuntungan maksimum) dalam orientasi pemikiran kapitalisme telah mengenepikan keuntungan sosial. Apatah lagi barangan dan perkhidmatan yang disediakan berkait dengan keperluan asas rakyat. Rakyat akhirnya menjadi mangsa orientasi pemikiran ini. Inilah yang disebut dengan ‘privatizing profit, socializing loss’.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, kesan berantai daripada kenaikan harga gula kepada rakyat lebih meruncing. Kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan inflasi yang mendadak adalah bahana yang sedang ditanggung rakyat dan semakin berganda dari sehari ke sehari. Selepas minyak masak, bahan api dan kini gula, apa lagi yang akan dinaikkan oleh pihak kerajaan? Berilah apapun alasan tetapi tunggulah hari pembalasan kelak!

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/3/2017

- Advertisement -