PRK Kuala Kubu Bharu: Petanda awal positif untuk PN

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin dengan momentum positif dan petanda awal yang baik, yang diterima oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu 11 Mei depan.

- Advertisement -

Keyakinan itu disuarakan sewaktu Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Selangor itu memberikan ucapan ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU di Fraser Valley Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

“Walaupun pintu masuk sepatutnya dibuka pada jam 10 pagi, tetapi para tetamu dengan rasa riang dan gembira ingin bersama-sama dengan PERIKATAN NASIONAL, seawal jam 8.30 pagi pintu sudah dibuka kepada para tetamu.

“Ini merupakan petanda awal yang cukup baik, kerana yang hadir bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga begitu ramai orang Cina, orang India, orang Asli dan seluruh rakyat Malaysia. Inilah jati diri PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu turut dihadiri oleh para pemimpin BERSATU yang lain, antaranya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Parlimen Hulu Selangor merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor, Hasnizan Harun.

Tambah Azmin, majlis rumah terbuka yang diadakan menjadi bukti bahawa PN telah berjaya memupuk perpaduan, memperkukuh ukhuwah masyarakat, komuniti dan negeri sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

“Hari ini hari raya. 11 Mei, pilihan raya, dan kita akan sambut satu lagi sambutan hari raya jam 10 malam di Kuala Kubu Bharu.

“Sebagai sebuah parti pelbagai kaum, kepelbagaian adalah aset yang penting untuk Malaysia dan Selangor terus maju di masa akan datang,” tambahnya.

Dalam majlis itu juga, beliau selaku urus setia majlis berkenaan memaklumkan pihaknya terpaksa menukar lokasi majlis berkenaan selepas lokasi awal telah ditolak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada saat-saat akhir.

“Kita tidak dapat tapak yang lebih besar daripada ini kerana ada pihak yang takut dengan kebangkitan PERIKATAN NASIONAL dan sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -