PRK DUN Kuala Kubu Bharu jadi ‘referendum’ rakyat

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan akan menjadi sebuah ‘referendum’ rakyat.

- Advertisement -

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi menunjukkan ketidaksetujuan dan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan persekutuan.

“Kalaulah di sini rakyat tahu masalah kerajaan yang tak mampu buat kerja, buktikan kita tidak menyokong (kerajaan) dan berikan sokongan kepada parti Perikatan Nasional kita.

“Kita akan memberikan suatu keputusan yang terbaik dan memberikan isyarat kepada pihak kerajaan di Putrajaya yang akan gementar bila mereka melihat Kuala Kubu Bharu menjadi milik Perikatan Nasional,” tambahnya yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU, hari ini.

DUN Kuala Kubu Bharu menjadi satu-satunya kerusi di dalam Parlimen Hulu Selangor yang tidak dimenangi PN, selepas dua lagi kerusi iaitu DUN Hulu Bernam dan DUN Batang Kali berjaya dimenangi oleh calon PN pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Sementara itu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU berlangsung meriah dengan kehadiran penduduk khususnya di sini dan kawasan sekitar.

Acara yang diadakan di Fraser Valley Kuala Kubu Bharu itu telah menarik seramai anggaran 10,000 pengunjung, dengan dihadiri oleh para pemimpin khususnya darIpada BERSATU.

Muhyiddin menjadi tumpuan utama pengunjung apabila hadir ke majlis berkenaan sekitar jam 11.00 pagi, sebelum menyampaikan ucapannya dan menyantuni para pengunjung.

“Tidak lambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh barisan kepimpinan BERSATU dan juga PERIKATAN NASIONAL di seluruh negara, di seluruh peringkat.

“Mudah-mudahan amal ibadah yang telah kita laksanakan dan segala amal kebajikan yang kita telah langsungkan sepanjang bulan Ramadan yang lalu akan diterima oleh Allah SWT dengan balasan pahala yang sebesar-besarnya,” ujarnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh para pemimpin BERSATU yang lain, antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai. – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -