Penduduk khuatir peralatan rumah rosak jika banjir lagi

- Advertisement -

MASJID TANAH: Seorang mangsa banjir yang berlaku di Lubok China baru-baru ini, Norfadzilah Ahmad, 42, menanggung kerugian RM10,000 akibat kerosakan perabot dan peralatan rumah.

- Advertisement -

Menurut beliau, jumlah kerugian itu susulan banjir kali ini, manakala pada 2021 sebanyak RM30,000 akibat kerosakan kenderaan selain banjir pada 2022 yang menyebabkan kerosakan terutama perabot.

“Pintu rumah saya tu dah kembang tak boleh tutup sebab kena banjir sebelum ni. Mulanya saya tak mahu tukar. Tetapi mak saya kata tukarlah untuk raya kali ni.

“Saya baru tukar sebelum hari raya. Sekarang dah kena banjir semula. Sudah rosak semula pintu tu,” katanya sedih sewaktu program gotong-royong membersihkan sisa banjir anjuran PERIKATAN NASIONAL Masjid Tanah.

Tambah beliau, kerana bimbang dilanda banjir berulang, beliau sebelum ini sanggup tidak meletakkan banyak perabot di rumahnya kerana bimbang akan rosak lagi.

Menceritakan tentang kejadian itu, menurut Nurfadzilah, air mula naik sekitar jam 1.00 pagi Khamis akibat hujan lebat pada Rabu malam dan menjelang 1.30 pagi air sudah masuk ke dalam rumahnya.

“Yang peliknya banjir kali ini, jika pada banjir besar dahulu (tahun 2021) banjir bermula dari Teluk Berembang (berhampiran Sungai Linggi). Tetapi kali ni di sini banjir tetapi di kawasan sungai banjir berlaku kemudian.

“Saya percaya sebab projek Empangan Sungai Jernih yang berada di hadapan rumah saya yang masih belum siap jadi punca air naik. Mungkin ada struktur yang tidak diselenggara menyebabkan berlaku banjir,” luahnya.

Lebih dikesalkan, menurut beliau, pihak pengurusan projek tidak pernah bertemu dengan penduduk kampung sepanjang projek itu berjalan walaupun tanah yang digunakan untuk projek itu sebenarnya bekas tanah milik ahli keluarganya.

“Kita bukan bercakap soal bantuan, tetapi kita nakkan penyelesaian tentang kejadian banjir ni supaya tak berulang. Apa langkah kerajaan? Tolonglah perbaiki infrastruktur.

“Kita percaya ada yang tak kena sebab tu berlaku banjir. Kalau asyik banjir sahaja kita pun buntu. Saya baru tambah dapur, nak buat kabinet pun takut. Nanti banjir rosak lagi,” ujarnya.

Sementara itu Setiausaha PERIKATAN NASIONAL Masjid Tanah, Shahrul Azhar Amir dalam program tersebut berkata, gotong-royong itu diadakan bagi meringankan beban ditanggung penduduk di situ.

“Kita faham bahawa mereka sangat tertekan dengan apa yang berlaku. Baru lepas raya terpaksa pula berdepan banjir. Kerana itu kami datang membantu.

“Saya mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu,” ujarnya.

Seramai 20 orang sukarelawan PERIKATAN NASIONAL menyertai gotong-royong tersebut yang turut disertai Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Abu Hashim Abdul Samad dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu, Nazri Ramli. – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -