MIPP komited bersama PERIKATAN NASIONAL

- Advertisement -

SEREMBAN: MIPP menyatakan komitmen untuk berdiri teguh bersama PERIKATAN NASIONAL dalam perjuangan mengembalikan sebuah kerajaan negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat, berintegriti dan stabil.

- Advertisement -

Presiden MIPP, Punithan Paramsiven berkata, hari ini adalah permulaan kepada perjuangan besar bagi membawa Negeri Sembilan ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PERIKATAN NASIONAL atas kepercayaan yang terus diberikan kepada MIPP sebagai rakan seperjuangan dalam gabungan berkenaan.

“MIPP berdiri teguh bersama PERIKATAN NASIONAL kerana kami percaya bahawa hanya melalui perpaduan dan perjuangan yang berteraskan rakyat mampu membawa perubahan sebenar kepada negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di KOMPAS Kampung Ismail, Ampangan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pilihan raya kali ini bukan sekadar pertandingan antara parti politik, sebaliknya pilihan antara kerajaan yang mendengar suara rakyat dan kerajaan yang semakin jauh daripada denyut nadi rakyat.

Rakyat berdepan tekanan kos sara hidup

Punithan menjelaskan, rakyat kini berdepan kos sara hidup yang terus meningkat selain peluang pekerjaan yang semakin mencengkam.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera MIPP dan PERIKATAN NASIONAL di Negeri Sembilan supaya turun padang bersama jentera PAS, WAWASAN, GERAKAN, PEJUANG serta sahabat daripada parti lain dalam gabungan itu.

“Lupakan perbezaan, kukuhkan perpaduan, bekerjalah sebagai satu keluarga besar PERIKATAN NASIONAL,” serunya.

Beliau berkata, setiap rumah yang dikunjungi, setiap tangan yang disalami dan setiap hati yang didekati akan membawa PERIKATAN NASIONAL selangkah lebih menghampiri kemenangan yang akan dinikmati bersama.

Calon PN tidak berjuang bersendirian

Punithan berkata, semua calon PERIKATAN NASIONAL perlu yakin bahawa mereka tidak berjuang bersendirian kerana di belakang mereka berdiri ribuan jentera dan jutaan rakyat yang mengimpikan perubahan.

Beliau turut mengingatkan supaya kempen dijalankan dengan penuh beradab, menghormati lawan serta tidak membalas kebencian dengan kebencian.

“Biarlah rakyat melihat bahawa PERIKATAN NASIONAL menawarkan politik yang matang, bersih dan berprinsip,” serunya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan menggunakan kuasa yang ada untuk memilih masa depan, kestabilan dan sebuah kerajaan yang bekerja untuk rakyat.

MIPP terus jadi rakan setia PN

Punithan berkata, hasil usaha semua jentera dan sokongan rakyat, PERIKATAN NASIONAL mampu mencipta sejarah bersama parti-parti yang bakal bersama gabungan itu di Negeri Sembilan nanti.

“Daripada MIPP, kami memberikan komitmen bahawa kami akan terus menjadi rakan setia dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, memperkukuhkan perpaduan nasional dan membina Malaysia yang lebih makmur serta bermaruah,” katanya.

Beliau mengajak semua pihak melangkah bersama bagi memenangkan PERIKATAN NASIONAL demi Negeri Sembilan dan Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/7/2026

- Advertisement -