
PUTRAJAYA: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan serta seluruh rakyat Qatar atas pemergian Bapa Emir Negara Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani yang telah kembali ke rahmatullah.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, hadir mewakili PAS bagi mengadakan kunjungan takziah ke Kedutaan Negara Qatar yang terletak di sini, hari ini.
Dr Muhammad Khalil menyifatkan pemergian Almarhum sebagai satu kehilangan besar yang bukan sahaja dirasai oleh negara teluk itu, malah memberikan kesan mendalam kepada seluruh dunia Islam.
Menurut beliau, Almarhum Sheikh Hamad amat dikenang sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa dalam memacu pembangunan Qatar, selain memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan dunia Islam di peringkat antarabangsa.
“Keprihatinan baginda terhadap nasib umat Islam, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin serta negara-negara Islam yang ditimpa musibah, akan sentiasa terpahat dalam ingatan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum, mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beroleh syurga.
Di samping itu, beliau turut berharap agar hubungan persaudaraan dan ukhuwah yang sedia terjalin antara Malaysia dan negara Qatar akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan serta kemaslahatan ummah sejagat.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terdahulu turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, seluruh kerabat diraja, serta rakyat negara itu bagi pihak gerakan Islam.
Abdul Hadi menyifatkan Almarhum sebagai seorang negarawan berwawasan yang telah berjaya mengubah Qatar menjadi antara negara yang paling disegani di persada dunia melalui kemajuan pesat dalam pelbagai sektor strategik.
“Sepanjang pemerintahan baginda, Qatar mencapai kemajuan yang amat pesat dalam bidang ekonomi, pendidikan, media dan hubungan antarabangsa, di samping memperkukuhkan kedudukannya dalam dunia Islam serta masyarakat antarabangsa.
“Legasi almarhum terserlah melalui pembangunan sektor tenaga negara, penubuhan pelbagai institusi strategik, serta usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa yang memberikan manfaat besar kepada pembangunan serantau dan global,” ujar beliau yang turut mendoakan agar almarhum ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Almarhum Sheikh Hamad Khalifa Al Thani merupakan Emir Qatar yang memerintah dari tahun 1995 sehingga tahun 2013, sebelum baginda menyerahkan takhta pemerintahan kepada anakandanya, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.
Sepanjang tempoh pemerintahannya, baginda dikenali sebagai arkitek kepada pemodenan Qatar moden di mana antara legasi terbesar baginda termasuklah penubuhan rangkaian berita antarabangsa Al Jazeera.
Juga pembangunan pesat industri gas asli cecair (LNG) yang melonjakkan ekonomi negara, serta pengasasan institusi pelaburan global Qatar Investment Authority (QIA) dan Yayasan Qatar (Qatar Foundation) yang memacu bidang pendidikan serta penyelidikan bertaraf dunia. – HARAKAHDAILY 14/7/2026











