
TENGGARA: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Pasir Raja, Yuhanita Yunan meluangkan masa hadir ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, di sini hari ini.
Ia bagi bertemu pengundi awal yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Kehadiran beliau di pusat pengundian awal itu bukan sekadar menyampaikan ucapan selamat mengundi, malah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota tentera.
Beliau menyifatkan anggota ATM sebagai warga yang sentiasa mengutamakan keselamatan negara di samping tetap menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Yuhanita berkata, beliau bersyukur kerana diberi kesempatan bertemu sendiri dengan anggota ATM yang hadir mengundi dalam suasana penuh tertib dan harmoni.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya sempat ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) untuk bertemu dengan pengundi awal. Saya ingin mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi awal.
“Semoga segala urusan dipermudahkan dan proses pengundian berjalan lancar. Insya-Allah,” ucap beliau yang juga bekas Ketua Muslimat PAS Kawasan Tenggara.
Yuhanita berkata, anggota tentera mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mempertahankan keamanan negara, justeru peluang mereka menunaikan hak sebagai pengundi perlu dihargai sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang matang.
Menurutnya, setiap anggota keselamatan bukan sahaja berkhidmat menjaga sempadan dan keselamatan rakyat, malah mereka juga memainkan peranan sebagai warganegara yang menentukan hala tuju kepimpinan negeri melalui proses pilihan raya.
“Pengorbanan warga ATM amat besar. Dalam kesibukan menjalankan amanah kepada negara, mereka tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara mereka dan memberkati segala pengorbanan yang dicurahkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Yuhanita berkata, beliau sentiasa menghormati proses demokrasi dan berharap semua pengundi dapat menggunakan hak masing-masing secara bijaksana demi masa depan Pasir Raja.
Katanya, setiap undi yang diberikan membawa amanah besar kepada bakal wakil rakyat untuk berkhidmat dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
“Sebagai calon, saya hadir bukan sekadar untuk berkempen, tetapi mahu menyantuni masyarakat, mendengar pandangan mereka dan menghargai setiap individu yang melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
“Insya-Allah, jika diberi mandat oleh rakyat, saya akan terus membawa suara masyarakat Pasir Raja, memperjuangkan kebajikan mereka dan memastikan pembangunan kawasan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau yang bertanding sebagai calon nombor 2 mewakili PAS di bawah PN turut menyeru seluruh pengundi DUN Pasir Raja supaya keluar mengundi pada hari pengundian nanti bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik.
Yuhanita berkata, beliau komited meneruskan agenda ‘Terus Berbakti, Pasir Raja Sejahtera’ dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat.
Selain itu beliau bertekad memperkukuh pembangunan setempat, meningkatkan peluang ekonomi serta memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus menjadi keutamaan.
“Saya percaya Pasir Raja mempunyai potensi yang besar untuk terus maju. Dengan sokongan rakyat dan kerjasama semua pihak, kita mampu membina sebuah kawasan yang lebih sejahtera, inklusif dan membanggakan untuk generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026











