Di sebalik lencana, ada suara rakyat, penentu masa depan

Mazlan Bujang bersama anggota polis yang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Balai Polis Kampung Contoh, hari ini.
- Advertisement -

SEMBRONG: “Di sebalik lencana, mereka juga rakyat yang berhak menentukan masa depan negara,” demikian sanjungan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Kahang.

- Advertisement -

Mazlan Bujang berkata demikian selepas meluangkan masa bertemu anggota polis yang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Balai Polis Kampung Contoh, di sini hari ini.

Menurutnya, anggota keselamatan mempunyai peranan besar memastikan kestabilan dan keamanan negara, namun dalam masa sama mereka mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang diyakini mampu membawa perubahan.

Beliau berkata, pertemuan bersama anggota polis itu memberi peluang kepadanya mendengar sendiri pandangan serta cabaran yang dilalui golongan beruniform.

“Dalam setiap kunjungan, saya lebih banyak mendengar. Bagi saya, seseorang wakil rakyat perlu sentiasa berada bersama rakyat, memahami denyut nadi mereka dan mengetahui perkara yang menjadi kebimbangan masyarakat.

“Mereka bukan sahaja menjaga keamanan, tetapi mereka juga rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk menentukan hala tuju negara,” katanya.

Mazlan berkata, pendekatan turun padang merupakan komitmen perlu diteruskan oleh mana-mana wakil rakyat kerana hubungan rapat dengan masyarakat menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

Menurut beliau, rakyat mahukan pemimpin yang bukan hanya muncul ketika pilihan raya, sebaliknya sentiasa bersedia mendengar dan menyelesaikan isu dihadapi mereka.

“Setiap pintu yang diketuk dan setiap pertemuan yang diadakan memberikan pengalaman serta pengajaran. Dari situ kita dapat memahami keperluan sebenar rakyat.

“Kepercayaan rakyat perlu dihargai dengan kehadiran dan tindakan, bukan sekadar janji,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh anggota polis serta pengundi awal atas sambutan mesra yang diberikan sepanjang kunjungan tersebut.

Mazlan yang menggunakan slogan Pilih Mazlan Bujang (PMB) bertanding sebagai calon nombor tiga PN bagi DUN N.31 Kahang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. – HARAKAHDAILY 7/7/2026

- Advertisement -