Pembangunan belia antara agenda utama Cikgu Mala

Normala bersama anak-anak muda yang bekerja mencari rezeki di deretan kedai Bandar Labis.
- Advertisement -

LABIS: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Tenang, Normala Sudirman berjanji menjadikan pembangunan golongan muda sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

- Advertisement -

Beliau berkata, sudah tiba masanya anak muda di DUN Tenang diberikan peluang lebih luas untuk membina kehidupan, memperoleh pekerjaan berkualiti serta mencipta kejayaan tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.

Menurutnya, sekiranya terpilih, beliau mahu memastikan setiap dasar dan pembangunan yang dirancang memberi manfaat secara langsung kepada generasi muda kerana mereka merupakan aset paling penting dalam menentukan masa depan DUN Tenang.

“Saya mahu anak muda melihat DUN Tenang sebagai tempat untuk membina masa depan, bukan sekadar tempat membesar sebelum berhijrah mencari rezeki di bandar.

“Jika saya diberi amanah sebagai wakil rakyat, keutamaan saya ialah memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan supaya anak muda dapat terus tinggal bersama keluarga dan menyumbang kepada pembangunan kawasan sendiri,” katanya.

Selaras dengan hasrat itu, beliau akan berusaha menarik lebih banyak pelaburan ke DUN Tenang bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu, sekali gus mengurangkan penghijrahan belia ke bandar-bandar besar.

Menurut beliau, pembangunan ekonomi tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya perlu dirasai hingga ke kampung dan tanah rancangan FELDA.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Cikgu Mala’ mahu supaya golongan muda mempunyai sebab untuk terus menetap serta membina kehidupan di kawasan sendiri.

“Saya mahu melihat lebih ramai anak muda memperoleh pekerjaan yang stabil, mempunyai pendapatan yang baik dan mampu membina keluarga di DUN Tenang.

“Kita tidak mahu ibu bapa hanya bertemu anak-anak ketika musim perayaan kerana mereka terpaksa berhijrah demi mencari pekerjaan,” katanya.

Selain memperluaskan peluang pekerjaan, beliau turut berjanji memperkasakan golongan usahawan muda dengan menyediakan sokongan kepada mereka yang ingin menceburi bidang pertanian moden, industri makanan, perusahaan kecil serta ekonomi digital.

Katanya, ramai anak muda mempunyai minat dan potensi untuk berjaya, namun memerlukan suntikan modal, latihan kemahiran serta bimbingan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau turut beriltizam memperjuangkan peningkatan kemudahan internet dan infrastruktur digital bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor teknologi, e-dagang serta pekerjaan jarak jauh.

Menurutnya, perkembangan ekonomi digital memberi ruang kepada anak muda menjana pendapatan tanpa perlu berhijrah, asalkan kemudahan asas yang diperlukan dapat disediakan.

“Saya mahu anak muda yang mengusahakan fertigasi, pertanian moden, perniagaan makanan atau perniagaan dalam talian mendapat perhatian sewajarnya.

“Mereka perlu dibantu dengan latihan, akses kepada pembiayaan dan peluang memasarkan produk supaya perniagaan mereka mampu berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Cikgu Mala berkata, pembangunan belia tidak boleh tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pembentukan sahsiah, kepimpinan dan gaya hidup sihat.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan memperjuangkan lebih banyak kemudahan sukan, rekreasi serta program pembangunan kepimpinan belia agar generasi muda di DUN Tenang mampu menjadi pemimpin masa depan berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

“Saya mahu anak muda diberi tempat dalam pembangunan komuniti. Pandangan mereka perlu didengar dan mereka perlu dilibatkan dalam proses membuat keputusan yang melibatkan masa depan kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil siri pertemuan dan program turun padang bersama masyarakat mendapati antara isu yang paling banyak disuarakan oleh golongan belia ialah kekurangan peluang pekerjaan.

Selain akan diusahakannya untuk pembangunan ekonomi luar bandar, latihan kemahiran yang menepati keperluan industri serta bantuan kepada usahawan muda.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tawaran yang dibawa bukan sekadar manifesto pilihan raya, sebaliknya komitmen untuk memastikan setiap anak muda di DUN Tenang mempunyai peluang yang adil untuk berjaya.

“Saya berjanji akan menjadi suara kepada anak muda DUN Tenang. Saya mahu mereka memiliki peluang pekerjaan, ruang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemudahan yang lebih baik dan peluang memimpin masyarakat.

“Apabila anak muda berjaya, keluarga akan lebih sejahtera, ekonomi akan berkembang dan DUN Tenang akan menjadi kawasan yang terus hidup serta mampu melahirkan generasi masa depan yang gemilang,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan DUN Tenang hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama semua pihak dengan meletakkan kepentingan rakyat, khususnya generasi muda, sebagai agenda utama pembangunan kawasan. – HARAKAHDAILY 6/7/2026

- Advertisement -