Yuhanita mahu atasi isu jalan gelap di Pasir Raja

Kurangkan risiko kemalangan waktu malam

- Advertisement -

TENGGARA: Calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi kerusi N.35 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Yuhanita Yunan mahukan agar keperluan utama penduduk di kawasan itu diselesaikan.

- Advertisement -

Menurutnya keperluan utama penduduk di kawasan Pasir Raja ialah mendapatkan jalan yang selamat untuk dilalui pada waktu malam, khususnya melalui penambahbaikan pencahayaan lampu jalan.

Jelas beliau, keperluan itu lahir daripada pengalaman peribadinya yang sering melalui beberapa laluan utama di kawasan berkenaan termasuk dari Bukit Besar ke Saujana, Jalan Kulai-Kota Tinggi serta dari Bandar Tenggara ke Bukit Besar ketika mengajar dan menguruskan PASTI Al-Ummah, Taman Anggerik.

“Gelap. Sunyi. Lampu jalan tak sampai ke banyak bahagian, ada yang lalu bukit bakau pula tu,” ujar beliau bagi menggambarkan keadaan laluan berkenaan yang menurutnya berisiko pada waktu malam.

Walaupun keadaan jalan itu mencabar, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tenggara itu tetap meneruskan tanggungjawab mengajar dan urusan masyarakat.

Namun, beliau menyedari tidak semua penduduk mempunyai pilihan yang sama, khususnya golongan warga emas yang terpaksa berdepan risiko ketika keluar pada waktu malam.

“Setiap kali mereka keluar waktu malam, mereka bawa risiko yang sepatutnya tak perlu wujud. Kemalangan dah berapa kali berlaku di laluan yang sama. Semua tahu. Semua pernah dengar,” bimbangnya.

Yuhanita menegaskan, beliau bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menekankan keperluan perubahan terhadap aspek keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan.

“Saya bukan nak cerita tentang siapa patut dipersalahkan. Saya nak cerita tentang apa yang patut berubah,” tegas calon nombor 2 bagi DUN tersebut.

Beliau turut menekankan harapan agar jalan di Pasir Raja lebih selamat pada waktu malam dengan pencahayaan lampu jalan yang mencukupi.

“Jalan yang selamat. Lampu yang menyala bila malam tiba. Saya nak apa yang saya rasa, perlu ditamatkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2026

- Advertisement -